Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada isu 'beri kelonggaran' pada Khairul Hafiz - KP MSN


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Walaupun peluang pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan untuk layak ke temasya Sukan SEA 2019 secara merit sudah berakhir, namun beliau masih boleh disenaraikan dalam kategori B.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada untuk menyenaraikan Khairul Hafiz bagi mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2017 dalam kategori B atau memilih calon lain untuk bersaing dalam acara 100 m.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata KOM sebelum ini telah menetapkan syarat kepada atlet olahraga yang mana mereka perlu layak secara merit untuk disenaraikan dalam kategori A, iaitu ditanggung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kalau kata Khairul Hafiz tidak lepas dalam kategori A, bermakna persatuan kena berbincang dan memutuskan sama ada hendak hantar dia dalam kategori B atau tidak kerana dalam kategori B pun ada beberapa atlet juga turut layak. Seperti yang kita sedia maklum, untuk acara 100 m, hanya dua penyertaan sahaja, dan 4x100 m empat atau lima atlet boleh disenaraikan. 

"Jadi tidak ada isu kelonggaran diberikan atau tidak, ia terserah kepada persatuan. Dalam kategori A, sudah ada seorang atlet (Johnathan Nyepa) sahaja yang dah lepas, kalau kategori B pula ada empat atau lima pelari pecut, persatuan kena buat keputusanlah," katanya ketika ditemui selepas pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata KOM perlu mengemukakan semula kepada jawatankuasa pemilihan MOM mengenai keputusan yang telah dibuat berhubung penyenaraian atlet dalam kategori B, dan atlet yang diputuskan itu mestilah mereka yang sudah ada dalam senarai panjang sebelum ini.

Pada Kejohanan Olahraga KOM 2019 di Stadium MSN semalam, raja pecut Asia Tenggara terpaksa berpuas hati dengan catatan masa 10.71 saat (s) untuk menduduki tempat kedua acara 100 m lelaki, iaitu catatan yang masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18 s miliknya.

Untuk melayakkan diri secara merit, Khairul Hafiz juga perlu mencatatkan masa lebih baik daripada 10.37 s yang dilakukan oleh Johnathan, iaitu catatan di ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

Acara 100 m pada Kejohanan Olahraga KOM menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor muncul juara dengan catatan masa 10.59 s diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71 s) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81 s).

Untuk rekod, pelari berusia 21 tahun itu baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lepas dengan catatan masa 10.70 s dan berjaya membaiki catatan 10.50 s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu yang juga kejohanan keduanya selepas tempoh kecederaan.

Semalam, Ketua Jurulatih Olahraga Mohd Manshahar Abd Jalil berkata peluang untuk Khairul Hafiz ke temasya di Filipina menerusi Kategori A sudah berakhir namun namanya masih boleh disenaraikan di bawah Kategori B dan akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM yang akan berlangsung Isnin ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel