Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Port Dickson sebagai daerah pengeluar kelapa terbesar di N. Sembilan - Aminuddin


Tarikh kemaskini: 17/08/2019




PORT DICKSON, 17 Ogos (Bernama) -- Port Dickson akan dijadikan sebagai kawasan pengeluar kelapa terbesar di negeri ini bagi memenuhi permintaan domestik, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan terkemuka didapati mempunyai kesesuaian tanah untuk dijadikan sebagai kawasan penanaman kelapa, yang sebagai permulaan akan ditanam di empat buah kampung -- Kampung Pachitan, Kampung Sawah, Kampung Chuah dan Kampung Bukit  Pelanduk.

“Ia juga mampu dijadikan sebagai pendapatan tambahan kepada penduduk setempat di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ladang Peringkat Daerah Port Dickson di Dataran Kampung Pachitan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri M.Ravi, Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor dan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan Hisyam Yacob.

Hari ini, sebanyak  2,000 anak pokok kelapa pandan diserahkan kepada penduduk di empat kampung berkenaan untuk ditanam di sekeliling kediaman mereka terlebih dahulu, yang hasilnya dijangka akan dapat dituai pada empat atau lima tahun akan datang.

“Kita berharap usaha ini akan mendatangkan kesan positif untuk meningkatkan hasil pendapatan penduduk khusus masyarakat luar bandar. Di samping mereka yang mengusahakan inap desa, mereka juga akan dapat memasarkan dengan lebih mudah tanaman kelapa ini," katanya.

Menteri Besar berkata program yang dijalankan Jabatan Pertanian itu bukan sahaja untuk golongan petani semata, malahan terbuka kepada umum, sekaligus dapat menarik minat mereka untuk menceburi bidang pertanian.

“Ini adalah selaras dengan permintaan bagi kelapa yang semakin meningkat saban tahun dan ia membuka pasaran yang luas bagi industri tanaman kelapa itu sendiri sama ada melalui jualan segar mahu pun berasaskan kelapa,” katanya.

Kerajaan negeri kata Aminuddin telah menetapkan beberapa perancangan untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan industri pertanian sehingga tahun 2023.

 “Pertamanya, merancakkan sektor pertanian dan hiliran sebagai pemangkin pembangunan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Ini kita dapat dilihat di mana setiap tahun kerajaan negeri akan menyediakan belanjawan untuk disalurkan kepada rakyat melalui Jabatan Pertanian.

“Seterusnya adalah untuk membangunkan tanah-tanah terbiar dengan insentif yang menarik supaya lebih ramai anak muda terlibat dan kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.70 juta untuk Projek Pembangunan Tanah Terbiar ini dengan keluasan 176 hektar untuk dibangunkan,” katanya.

Sementara itu, mengambil contoh Kampung Pachitan yang terkenal sebagai produk inap desa, Aminuddin dalam ucapannya berkata banyak lagi kawasan di negeri ini boleh dikomersialkan sebagai produk agro-pelancongan.

"Sekiranya inap desa ini disuntik dengan elemen pertanian, saya yakin dan percaya Homestay Kampung  Pachitan ini mampu menjadi salah satu produk pusat agro-pelancongan di Port Dickson sekaligus dapat meningkatkan pendapatan dengan perusahaan Homestay dan juga hasil pertanian," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan lebih ramai usahawan menerokai bidang pertanian yang kini menjadi satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel