EcoWorld catat dua rekod M'sia menerusi acara B.Duck
Tarikh kemaskini: 17/08/2019

GEORGE TOWN, 17 Ogos (Bernama) -- EcoWorld Malaysia mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penganjuran acara B.Duck yang pertama dan terbesar di negara ini.
B.Duck, satu jenama produk yang diwujudkan oleh Sëmk Products Ltd, syarikat reka bentuk berpejabat di Hong Kong pada 2005, menawarkan rangkaian produk rumah, keperluan mandian, alat tulis, mainan dan pakaian yang popular dalam kalangan penduduk Hong Kong, China, Thailand, Korea Selatan dan negara lain.
Wakil MBOR, Edward Sin and Aaron Bong, turut hadir pada majlis pelancaran acara B.Duck bagi mengiktiraf pencapaian dua rekod tersebut.
Pengurus Besar Divisyen EcoWorld (Pulau Pinang) Chan Soo How berkata selain itu, kemudahan tapak permainan mudah alih B.Duck terbesar dunia yang dibina di Galeri EcoWorld, Bandar Cassia, Batu Kawan, juga dilancarkan secara rasmi hari ini.
Menurutnya, kemudahan kawasan permainan itu berukuran 35 meter panjang, lebar 25 meter lebar dan tinggi 11 meter.
“Menerusi tema 'Gaya Hidup Baru', acara B.Duck memberi peluang terbaik untuk memperkenalkan gaya hidup yang ditawarkan di kawasan perbandaran EcoWorld," katanya kepada pemberita.
Acara B.Duck itu dibuka kepada orang ramai mulai Jumaat hingga Ahad dan cuti umum sehingga 16 September depan.
-- BERNAMA
|