Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

P. Pinang rancang Pesta Padi Antarabangsa dalam kalendar pelancongan negara


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk memasukkan acara Pesta Padi Antarabangsa dalam kalendar pelancongan negara.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata acara itu yang masuk tahun kedua penganjurannya di negeri ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan sekali gus membuktikan ia mampu mencapai pengiktirafan sebagai acara pelancongan kebangsaan.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi membolehkan acara Pesta Padi Antarabangsa dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.

“Keunikan acara ini (dapat) membawa pelawat dan pelancong. Ianya satu pengalaman yang tidak mudah didapati khususnya kepada orang-orang yang menginap di bandar.

"Penganjuran pesta ini bukan sekadar suka-suka kerana ia mempunyai objektif yang cukup jelas terutama dalam menentukan hala tuju dan mengekalkan sektor pertanian khususnya tanaman padi di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 2.0 bertemakan ‘Padi Ku Warisan Ku Rezeki Ku’, di sini hari ini.

Chow berkata, pesta yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam diadakan di Laman Padi Jeti Kampung Terus, Penanti di sini, tapak warisan padi tertua di kawasan Seberang Perai iaitu sejak tahun 1800.

Pesta itu dimeriahkan dengan pelbagai program antaranya pameran seni arca jerami padi pertama di Malaysia, aktiviti menangkap ikan dalam sawah, lukisan pemandangan oleh pelukis tempatan, jualan buah-buahan, sayur-sayuran, makanan dan minuman.

Pada majlis itu, Chow turut melepaskan anak ikan dan udang galah di Sungai Terus untuk menyeimbangkan ekosistem selain dapat menjadi punca pendapatan para nelayan kelak.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) yang meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyelesaikan bayaran pampasan yang masih belum dibayar kepada nelayan terjejas dengan projek penambakan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Chow berkata pihaknya akan melihat isu itu sama ada berasas atau tidak.

"Bagi projek yang lepas saya percaya semua sudah ditunaikan oleh pihak tertentu. Mereka (nelayan) boleh bawa rungutan kepada Kerajaan Negeri dan kita akan lihat sama ada berasas atau tidak," katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai formula dalam pemberian saguhati kepada pihak-pihak yang terjejas dengan projek Kerajaan Negeri termasuk mengadakan rundingan dengan pihak terbabit.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel