Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ahli Dewan Belia Perak perlu proaktif beri sumbangan majukan negeri


Tarikh kemaskini: 17/08/2019





IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Belia Perak diminta tidak hanya sekadar melontarkan sesuatu hujah dalam sesi Persidangan Dewan Belia tetapi perlu bertindak secara agresif dan proaktif memberi sumbangan untuk memajukan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata segala usul atau cadangan yang dibentangkan semasa persidangan wajar dijadikan asas perjuangan supaya ia dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Sekurang-kurangnya menerusi persidangan ini, ia dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar hasil idea atau suara daripada generasi muda.

"Saya juga telah meminta Ahli Dewan Belia supaya membentangkan kad laporan kepada saya mengenai sumbangan dan pencapaian mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dan program yang dilaksanakan setakat ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Perak Yang Kedua 2019 berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Lee berkata beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan dalam persidangan kali ini antaranya usul yang dibentang dan dibahas akan dijadikan input kepada dasar kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, usul yang diluluskan dibawa secara rasmi ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan laporan tindakan usul akan menjadi laporan 'standard ' sebelum dimaklumkan ke Dewan Belia. 

Lee berkata sebanyak lima usul akan dibentang dan dibahaskan Ahli Dewan Belia pada persidangan kali ini antaranya penubuhan Komuniti Sukarelawan Perak bagi merancakkan penglibatan dan aktiviti sukarelawan belia secara berstruktur.

"Di samping itu, turut diusulkan adalah pemerkasaan aliran vokasional dalam kalangan pelajar sekolah menengah, memperluas dan memperkasa Hab Belia Perak ke setiap daerah serta usaha kerajaan negeri menjadikan negeri mesra alam tanpa beg plastik," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel