Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mehmed kecewa Perak seri di laman sendiri


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic kecewa apabila skuad 'The Bos Gaurus' sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pulau Pinang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Perak, semalam. 

Beliau berkata Perak sepatutnya memenangi perlawanan itu dengan mudah jika deretan peluang yang diperoleh berjaya disempurnakan sebagai jaringan oleh jentera serangan. 

"Secara jujurnya, kita sepatutnya jaringkan tiga atau empat gol pada separuh masa pertama dan beberapa peluang lagi yang kita peroleh pada separuh masa kedua. Namun itu tidak berlaku. 

"Bagi saya, kita tidak boleh lakukan kesilapan sebegini terutama dalam kejohanan seperti Piala Malaysia kerana tidak banyak perlawanan yang akan kita harungi untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi. 

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Perak diperoleh melalui pemain import Brazil, Ronaldo Henrique pada minit ke-11 manakala gol Pulau Pinang disempurnakan Anselmo Casagrande pada minit ke-63.

Mengulas pertemuan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 24 Ogos ini, Mehmed berkata meskipun ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar namun itu bukan alasan untuk pasukannya menyerah kalah. 

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata beliau gembira pasukannya berjaya mengikat Perak yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia. 

Beliau berkata para pemainnya menunjukkan semangat juang yang tinggi meskipun terpaksa mengekang asakan pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan berlangsung. 

"Pada separuh masa pertama pemain nampak sedikit gemuruh namun selepas itu dalam bilik persalinan saya beritahu mereka supaya kita bermain sebagai satu pasukan dan kena pastikan bermain dengan baik untuk sekurang-kurangnya bawa pulang satu mata," katanya.

Selain itu, beliau optimis anak buahnya mampu melakar kemenangan ke atas Perak pada 24 Ogos ini berdasarkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. 

"Untuk perlawanan selepas ini mungkin akan ada pertukaran formasi dan ia bergantung kepada kondisi pemain. Kita ada kelebihan bermain di tempat sendiri untuk dapatkan tiga mata sekali gus layak ke suku akhir," katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel