Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada keperluan buat pembenihan awan - MB Johor


Tarikh kemaskini: 18/08/2019





ISKANDAR PUTERI, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor tidak bercadang untuk melakukan pembenihan awan buat masa kini berikutan kemerosotan air di beberapa muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini ekoran cuaca panas dan kering awal sejak bulan lepas.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata ia berikutan bekalan air di empangan dilihat masih mencukupi.

"Kerajaan negeri sedia maklum memang ada penurunan paras air di beberapa empangan namun kerajaan negeri telah mengambil beberapa tindakan yang perlu seperti mengepam air dari Sungai Seluyut ke Empangan Layang.

"Setakat ini, keadaan terkawal...jadi masyarakat tidak perlu risau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forest City Classic Golf Course dekat sini,  hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Country Garden Holdings Liang Guo Kun dan Pengarah Eksekutif CGPV Datuk Daing Abdul Malek Daing Abdul Rahaman.

Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri juga telah bersedia dan mempunyai pelan sekiranya kemorosotan air menjadi semakin serius.

"Masyarakat tidak perlu risau jika terjadi (serius) pun kita akan buat catuan berperingkat  tetapi masa sekarang memang  terkawal dan kita memang sudah ada pelan untuk mengelakkan krisis air di Johor.

"Semua masyarakat kena faham keadaan sekarang kurang hujan dan paling penting perlu jimat menggunakan air, bila perlu baru guna air, elakkan pembaziran selain itu pastikan sungai kita jangan terus tercemar," katanya lagi.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan berkata beberapa muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dikesan mengalami kemerosotan air ekoran cuaca panas dan kering sejak awal bulan lepas.

Fenomena cuaca kering yang melanda telah mengakibatkan tahap simpanan air mentah merosot dan boleh menyebabkan beberapa loji rawatan air di negeri ini tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

Puah berkata LRA Lok Heng dekat Kota Tinggi antara yang terjejas dan dikesan mengalami kemerosotan yang mendadak sementara Sungai Sedili Kecil yang merupakan sumber bekalan air mentah bagi loji berkenaan mula mengalami kemerosotan sejak dua minggu lepas.

Terdahulu dalam majlis berkenaan, Dr Sahruddin merasmikan 'Forest City Classic Golf Course', Padang Golf kedua di Forest City yang mempunyai 18 lubang itu, yang mengambil masa kurang dari 12 bulan untuk disiapkan.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel