Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga Bangladesh rasuah polis kena penjara


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KUANTAN, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang lelaki warga Bangladesh menjalani hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah merasuah dua anggota polis, pada hari raya Aidiladha lepas.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib ketika membuat keputusan itu terhadap Islam Saimon, 24, selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap iaitu 12 Julai lepas.

Tertuduh didakwa memberi suapan RM551 kepada dua anggota polis dari unit Rondaan Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini pada 10.40 malam, 11 Julai lepas di kaunter aduan balai polis itu. 

Suapan dalam bentuk wang tunai itu didakwa sebagai dorongan kepada anggota polis itu tidak mengambil tindakan terhadapnya yang didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini. 

Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia datang ke negara ini untuk bekerja bagi menanggung keluarga dan sebelum ditahan, bekerja sebagai pembantu di kedai baju. 

"Saya mempunyai dua adik yang masih belajar. Ayah tidak bekerja dan emak pula sakit," katanya dalam nada perlahan. 

Pada prosiding itu, tertuduh hadir dengan pakaian penjara serba putih kerana sedang menjalani hukuman penjara selama empat bulan bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel