Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Naib Canselor komited tingkat kualiti, pastikan UMS antara universiti terbaik dunia


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KOTA KINABALU, 19 Ogos (Bernama) -- Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin komited untuk meningkatkan lagi kualiti universiti itu termasuk dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, fasiliti dan infrastruktur serta kebolehpasaran pelajarnya bagi memastikan UMS berada dalam kedudukan sebagai antara universiti terbaik dunia.

Beliau berkata pencapaian bersejarah UMS yang buat pertama kalinya tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2020 sebagai antara 1,000 universiti terbaik dunia adalah satu permulaan sangat baik bagi universiti berkenaan untuk terus memperkukuhkan reputasi di mata dunia.

Menerusi penarafan QS World University Rankings 2020 yang diumumkan pada Jun lepas, UMS disenaraikan pada kedudukan 801.

Taufiq mengucapkan tahniah kepada pemimpin UMS sebelum ini termasuk bekas Naib Canselor Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin atas pencapaian itu, dan selaku pemimpin baharu universiti, beliau akan melakukan yang terbaik bagi meningkatkan lagi keternampakan (visibility) dan kedudukan UMS di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap kakitangan UMS dapat memberi kerjasama dalam usaha meningkatkan lagi keternampakan universiti sehingga ke peringkat antarabangsa khususnya di Asia Pasifik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini hari ini.

Ini merupakan kunjungan hormat yang pertama Taufiq kepada Tun Juhar selaku Canselor UMS selepas dilantik sebagai Naib Canselor UMS pada 30 Julai lepas.

Taufiq berkata pihaknya akan melakukan beberapa perkara ke arah meningkatkan lagi kualiti UMS termasuk melihat semula kurikulum sedia ada serta hubungan UMS dengan industri sama ada di dalam mahupun di luar Sabah bagi memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan dan pengalaman industri sekali gus memastikan kebolehpasaran graduan.

Mengenai kunjungan hormat itu, Taufiq berkata, Tun Juhar memberi sokongan sangat baik kepada pimpinan universiti selain turut berharap UMS akan lebih membangun dan maju khususnya dalam membantu meningkatkan lagi sosioekonomi di Sabah.

"Saya akan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan membantu meningkatkan sosioekonomi Sabah selain memastikan lebih ramai penduduk di negeri ini dapat menimba ilmu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel