Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKM minta mangsa serangan beruk memohon bantuan TSBB


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meminta seorang lelaki yang mengalami kecederaan selepas digigit seekor beruk beberapa hari lalu agar memohon Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB), jika melepasi syaratnya, kata Pengarahnya Said Sidup.

Beliau berkata TSBB diluluskan Kabinet pada 2004 di bawah JKM dengan memperuntukkan bantuan maksimum RM20,000 untuk kes kematian atau kehilangan upaya kekal akibat serangan binatang buas.

"Pihak kami segera menghantar wakil pegawai untuk menyiasat dan bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kecederaan dan perlulah ada lampiran laporan perubatan daripada pihak hospital.

"TSBB bertujuan membantu meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa serangan binatang buas termasuk beruk," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan, pengusaha kelapa, Hafiruz Hasan, 29, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setelah cedera teruk di bahagian kaki dan tangan kanan semasa cuba menangkap haiwan peliharaan bapanya itu selepas terlepas dan membawa kebimbangan penduduk sekitar Melor dan Mahligai sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, beruk bernama 'Mat' tersebut sudahpun ditangkap oleh sekumpulan penternak beruk semasa dijumpai berkeliaran di Kampung Sri Kulim Melor malam kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Said berkata, syarat kelayakan permohonan TSBB ialah mangsa atau waris serangan binatang buas boleh membuat tuntutan sekiranya diserang binatang yang dikategorikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai binatang buas.

"Mangsa atau waris mangsa juga perlu mendapatkan surat pengesahan daripada Perhilitan yang menyatakan beruk adalah binatang buas.

"Mengikut rekod kami berdasarkan rujukan TSBB, terdapat 15 jenis binatang buas yang dikategorikan iaitu gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular berbisa, primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang) serta buaya.

"Binatang lain, termasuk semua jenis tebuan dan lebah liar, semua jenis musang, kucing batu, kucing hutan serta babi," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel