Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KADA akan guna secara optimum tanah rizab tali air


Tarikh kemaskini: 19/08/2019





KOTA BHARU, 19 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan menggunakan secara optimum tanah rizabnya bagi menanam pokok “Indigofera tinctoria” di sepanjang 1,500 kilometer tali air di bawah seliaan lembaga itu.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata tanaman itu mempunyai nilai komersial bagi meningkatkan pendapatan peserta.

"Selain bunganya cantik, daun pokok terbabit boleh dimakan dan ia boleh dijadikan sebagai makanan ternakan.

"Ia kerana tanah rizab seluas 300 meter dari kiri dan kanan tali air dilihat terbiar yang harus dimanfaatkan bagi meningkatkan ekonomi peserta kami," katanya selepas melawat kawasan tali air di Kampung Jal, Ketereh di sini, hari ini.

Husam berkata, melalui tanaman pokok terbabit, pihaknya yakin kawasan di sepanjang tali air itu akan memperlihatkan landskap yang cantik dan dapat menarik pengunjung.

“Idea tercetus setelah saya mengadakan lawatan dan melihat tali air sejauh 1,500 km di bawah seliaan KADA terbiar tanpa dibangunkan dengan penanaman pokok atau kegiatan lain yang memberikan manfaat kepada peserta sendiri.

“Tanah rizab ini berpotensi jika ditanam dengan pokok atau aktiviti lain yang mampu menjana pendapatan. Begitu juga, kami mengalu-alukan pihak tertentu terutamanya penduduk setempat untuk bekerjasama bagi membangunkan tanaman pokok Indigofera tinctoria ini," katanya.

Beliau berkata, pokok Indigofera mempunyai 200 spesies namun bagi peringkat permulaan pihaknya akan menanam jenis Indigofera tinctoria terlebih dahulu sebelum menanam lebih banyak spesies itu selepas ini.

Sementara itu, paras air sungai Kelantan yang semakin menyusut memberikan kesan kepada pesawah yang mengalami masalah bekalan air sejak beberapa tahun lepas.

"Pihaknya akan memberi tumpuan khusus bagi menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

K'jaan Selangor sedang proses kelulusan tapak tanah Highland Towers untuk dibangunkan semula

 
     

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel