Keuntungan bersih suku kedua GCB melonjak kepada RM61 juta
Tarikh kemaskini: 19/08/2019
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Guan Chong Bhd (GCB) pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019 melonjak 41.8 peratus kepada RM60.99 juta daripada RM43.03 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya.
Hasil menokok 53.3 peratus kepada RM753.06 juta daripada RM491.58 juta, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Brandon Tay Hoe Lian berkata syarikat mendapat kelebihan daripada kenaikan permintaan global bagi bahan-bahan koko terutamanya di Asia disebabkan oleh peningkatan kemewahan pengguna dan penghargaan terhadap coklat serta produk yang berkaitan dengannya.
Sementara itu, hasil tanaman dan pengeluaran terus disokong oleh keadaan cuaca yang baik, sekali gus memberi manfaat kepada industri secara keseluruhan.
Oleh yang demikian, syarikat menjangkakan prestasi akan terus kukuh pada separuh kedua 2019.
"Melangkah ke hadapan, kami akan terus meningkatkan kecekapan operasi kami dan mengembangkan usaha penjenamaan termasuk pemasaran bagi memandu kemampanan jangka panjang dan memperkukuhkan kedudukan kami sebagai pengisar koko yang terkemuka di Asia.
“Melalui pengembangan keupayaan kami yang dibuat pada awal 2019, kami bersedia bagi menangani lebih banyak jualan daripada industri makanan dan minuman global,” kata Tay.
GCB mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, dengan lepas tarikh yang ditetapkan kepada 4 Sept 2019 dan pembayaran pada 27 Sept 2019.
Ini termasuk pembayaran dividen interim yang pertama dalam Julai 2019, jumlah pembayaran dividen bagi separuh pertama tahun kewangan 2019 akan berjumlah sebanyak RM14.4 juta.
GCB merupakan salah satu pemproses koko yang terbesar di rantau ini dan ia merupakan antara lima pengeluar ramuan koko di dunia, dengan kapasiti pengisaran tahunan mencecah 200,000 tan metrik setahun
-- BERNAMA
|