kF5B4Y8zIM0 Keluarga rayu anak hilang pulang ke rumah
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga rayu anak hilang pulang ke rumah


Tarikh kemaskini: 20/08/2019





SEREMBAN,  20 Ogos -- Dua keluarga merayu anak gadis mereka supaya pulang ke rumah setelah dilaporkan hilang sejak 17 hari lalu.

Dua gadis berkenaan iaitu Chan Yi Xuan, 15, dan rakannya Chan Jiah Huih, 14, dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lalu, selepas dipercayai ke Kuala Lumpur.

Kedua-dua mereka yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang dan Seri Ampangan itu saling mengenali sejak awal tahun lalu di sebuah pusat tuisyen di Seremban Jaya.

Menurut ayah kepada Yi Xuan, Chan Wai Keong, 34, anaknya sebelum itu memberitahu mahu ke sekolah untuk mengambil sijil kira-kira jam 9 pagi di sekolahnya namun tidak pulang sehingga kini.

"Anak saya keluar seperti biasa, tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, malah kami sekeluarga juga tidak pernah bergaduh atau memarahinya, semuanya dalam keadaan baik sahaja.

"Kali terakhir anak saya menghubungi kami pada 5 Ogos lalu dengan memaklumkan berada dalam keadaan baik, selepas menerima panggilan itu saya cuba menghubunginya semula namun gagal, " katanya kepada  pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Manakala ibu saudara kepada Jiah Huih, Yong Poh Yein, 35, berkata anak saudaranya disedari hilang selepas dipercayai pergi ke rumah kawannya untuk latihan menari.

Namun, sehingga tengah malam, dia tidak pulang ke rumah dan tidak dapat menghubungi gadis berkenaan sehingga kini.

"Pada 4 Ogos lalu, dia ada memberi pesanan video kepada saya melalui WeChat memaklumkan mahu ke Kuala Lumpur bersama rakannya, sebaik sahaja saya menerima pesanan itu saya cuba menghubunginya namun gagal.

"Pada keesokkan harinya, dia menghubungi saya memberitahu dirinya dalam keadaan baik sebelum mematikan panggilan, dan sehingga ke hari ini kami langsung tidak dapat menghubunginya lagi, saya merayu agar beliau pulang dan berbincang sekiranya ada sebarang masalah," katanya.

Sebanyak tiga laporan polis telah dibuat di Balai Polis Senawang, Paroi dan Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Said Ibrahim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Cha meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua gadis ini agar menyalurkan maklumat kepada pihaknya untuk tindakan lanjut di talian 012- 6664557.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PH tidak tolak hasil kajian berbentuk ilmiah dan membina - Muhyiddin

 
     

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel