Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua gadis hilang sejak 3 Ogos dijumpai di Selayang - Polis


Tarikh kemaskini: 21/08/2019





SEREMBAN, 21 Ogos -- Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lepas, ditemui selamat di Selayang, Selangor, semalam, kata Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim.

Beliau berkata kedua-dua remaja, Chan Jiah Huih, 14, dan Chan Yi Xuan, 15, ditemui  keluarga mereka di sebuah kedai dobi kira-kira pukul 10 malam selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Keluarga telah menjumpai mereka dan kemudian membawanya ke Balai Polis Selayang untuk diambil keterangan. Polis kemudiannya membawa kedua-dua remaja itu ke hospital bagi pemeriksaan lanjut dan tiada sebarang kecederaan dihadapi kedua-dua mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutup Pertandingan Kawad Kaki KOR Kadet Polis di sini, hari ini.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

Mohd Said berkata hasil siasatan awal, kedua-dua remaja mengaku melarikan diri dari rumah secara sukarela kerana mempunyai masalah keluarga.

"Kedua-dua mereka dalam keadaan selamat, tiada unsur jenayah dikesan dan mereka telahpun diserahkan kepada keluarga masing-masing," katanya.

Semalam media melaporkan, dua keluarga merayu anak gadis mereka supaya pulang ke rumah setelah dilaporkan hilang sejak 17 hari lepas.

Dua gadis berkenaan dilaporkan hilang sejak 3 Ogos lepas, selepas dipercayai ke Kuala Lumpur.

Kedua-dua mereka yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang dan Seri Ampangan itu saling mengenali sejak awal tahun lalu di sebuah pusat tuisyen di Seremban Jaya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel