Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tindakan terhadap pihak terlibat kebakaran di tapak pelupusan haram Bukit Kempas


Tarikh kemaskini: 22/08/2019





JOHOR BAHRU, 22 Ogos (Bernama) -- Pengusaha dan pemilik tanah yang terlibat dalam kebakaran di tapak pelupusan haram di Bukit Kempas akan dikenakan tindakan, kata Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Amran A.Rahman.

Katanya  tindakan seperti merampas hak milik tanah daripada pemilik tanah serta hukuman undang-undang terhadap pengusaha tanah berkenaan akan dikenakan sebagai langkah untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang selain menjadi peringatan kepada semua pihak.

“Kita akan ambil tindakan kepada kedua-dua pihak iaitu pengusaha dan tuan tanah di mana SWcorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) akan ambil tindakan kepada pengusaha tanah berkenaan manakala Jabatan Tanah akan ambil tindakan kepada pemilik tanah.

“Kita sudah kenal pasti pemilik tanah dan sudah keluarkan notis rampasan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Sebenarnya, kebanyakan pemilik tanah tidak tahu tanah mereka digunakan, ada yang ada tanah tetapi tidak menggunakan tanah mereka ataupun ada yang disewakan kepada pihak lain, jadi pihak ketiga ini yang kurang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas Kawasan Perindustrian MBJB (Kajian Semula) 2025 dan Sesi Town Hall Bersama Pekilang-pekilang yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri negeri Tan Chen Choon. 

Mengulas lanjut mengenai kebakaran di tapak pelupusan sampah haram itu, Amran berkata pihaknya dan beberapa agensi lain akan terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi mengekang masalah itu daripada berleluasa serta turut menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar demi kebaikan bersama.

“Kita akan berterusan memantau perkara ini dan kita sangat kesal ia masih berlaku, kita pernah buat sebelum ini (memadam kebakaran) dan ia berhenti. Kita sudah mengambil langkah proaktif di mana MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) sendiri mengeluarkan bajet yang besar untuk memadam kebakaran di samping dibantu oleh SWcorp, Bomba, JAS (Jabatan Alam Sekitar) selain kita lantik pihak swasta untuk bantu kita.

“Yang kita kesal ia berlaku di tapak tanah persendirian dan tempat pengumpulan sampah haram itu di kawasan penempatan penduduk dan hampir dengan sekolah kita jadi ia amat mendukacitakan," kata beliau. 

Awal Ogos, satu pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Banjaran 15, Kempas dilaporkan berlaku menyebabkan pencemaran asap di kawasan sekitarnya.

Sebelum ini, Tan dilaporkan berkata satu kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya termasuk notis 7A oleh Pejabat Tanah dan Galian Johor kepada pemilik tanah yang terlibat dalam kejadian pembakaran terbuka berkenaan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel