Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Berdepan pertuduhan rogol: Exco Perak dinasihat cuti daripada tugas rasmi


Tarikh kemaskini: 22/08/2019





IPOH, 22 Ogos -- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok atas tuduhan merogol, dinasihat supaya bercuti daripada tugasan rasmi beliau, bagi menghormati proses undang-undang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu termasuklah tidak mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga perbicaraan kes selesai. 

Sambil memberi jaminan proses perundangan ke atas Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik barisan Exco.

"Semua barisan Exco kerajaan negeri sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed hari ini mengesahkan, Yong akan didakwa esok mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis, mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu di Meru.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri menghormati proses pendakwaan itu, memandangkan keluhuran undang-undang adalah prinsip asas dalam masyarakat negara ini, dan pada masa menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan sebaliknya.

Tambahnya, prestasi Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, adalah memuaskan dan beliau memberi kerjasama baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab.

Ahmad Faizal berkata beliau secara peribadi  terkejut atas apa yang berlaku dan berharap keluarga Yong, khususnya isteri serta anak-anak akan bersabar, dalam melalui proses perundangan itu seterusnya keadilan  ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat.

Menteri Besar Perak itu juga menyeru semua penyokong Yong supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang, dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan.

"Pada masa sama, saya menyeru orang ramai turut menghormati proses perundangan, tanpa membuat sebarang spekulasi, dengan cuba mendahului tugas polis, pendakwa dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial. 

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya kita menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara, dalam menegakkan keadilan dan kebenaran," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel