Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mazlan nafi ugut pentadbir negeri


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





JOHOR BAHRU, 23 Ogos -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang hari ini menafikan beliau bertindak mengugut seorang pegawai pentadbir negeri supaya kilang-kilang yang disita di Pasir Gudang ekoran kejadian pencemaran, dibenarkan beroperasi semula seperti biasa.

Mazlan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, berkata isu ugutan itu adalah fitnah dan berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kurang baik beliau terhadap masyarakat selain dimanipulasikan daripada keadaan sebenar yang berlaku.

“Saya maklum mengenai kejadian ini, tetapi ia bukan apa sebenarnya yang berlaku. Sebagai wakil rakyat, saya memang ada didatangi beberapa pengusaha premis dari kawasan itu (Pasir Gudang), yang kesemua mereka ini tiada kaitan pun dengan kilang-kilang haram di Pasir Gudang.

"Mereka adalah orang tempatan yang merupakan pengusaha kedai cuci kenderaan dan gerai-gerai yang diarahkan supaya ditutup oleh pihak berkuasa,” katanya yang dihubungi di sini.

Mazlan berkata sebagai seorang wakil rakyat juga, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu pengusaha premis berkenaan dengan bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk bertanyakan mengapa arahan penutupan itu boleh berlaku.

“Tiada sedikit pun perkara ini bersifat peribadi, ugutan atau pun seperti didakwa bahawa kuasa saya sebagai Pengerusi Bersatu negeri adalah sama atau lebih besar daripada Menteri sehingga boleh mengatasi arahan daripada Menteri," katanya.

Justeru, Mazlan berkata beliau akan membuat laporan polis, esok, berhubung isu berkenaan supaya siasatan lanjut mengenai dakwaan itu boleh dilakukan.

Terdahulu, wujud dakwaan menerusi satu laman Facebook yang bersertakan satu laporan polis mengatakan Mazlan mengugut seorang pegawai kerajaan untuk memastikan premis di Pasir Gudang yang telah disita dibenarkan beroperasi semula.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel