Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kira-kira 16 hektar hutan dekat Gelang Patah terbakar sejak dua hari lepas


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





JOHOR BAHRU, 23 Ogos -- Seramai 70 anggota bomba dari 10 balai sedang bertungkus lumus berusaha memadamkan kebakaran kira-kira 16 hektar kawasan hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah di sini, yang telah berlarutan sejak dua hari lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor R. Saiful Iswandy R. Hassan berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu menerusi talian MERS 999 pada pukul 11.45 pagi Rabu lepas.

Beliau berkata sejurus selepas panggilan, pihaknya telah menghantar seorang pegawai serta enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri untuk memulakan operasi pemadaman.

“Pada awalnya kebakaran hanya melibatkan empat hektar kawasan hutan, namun, sehingga hari ini, kebakaran sudah merebak sehingga seluas 16 hektar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya tindakan operasi kini dilakukan dengan membuat parit bagi mengelakkan api daripada terus merebak ke kawasan hutan lain.

Saiful Iswandy berkata pada pukul 11.30 pagi tadi, Unit Udara Bomba memantau kebakaran itu dari udara, dengan disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor Dzulkefly Ahmad, yang diiringi Timbalan Pengarah Bomba Johor Pauzan Ahmad.

“Setakat ini kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran juga sedang disiasat,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar dalam satu kenyataan berkata Jawatankuasa Bencana Daerah Johor Bahru yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir sudah mengadakan mesyuarat berhubung kejadian untuk langkah sewajarnya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, keadaan kebakaran adalah terkawal dan tidak perlu dibimbangi penduduk setempat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel