Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School


Tarikh kemaskini: 23/08/2019





KUANTAN, 23 Ogos -- Kolej Yayasan Pahang (KYP) Advanced Skills dialu-alukan untuk melibatkan diri dalam penubuhan institusi masakan De' Royal Azizah Culinary School. 

KYP Advanced Skills dalam kenyataan medianya di sini hari ini, memaklumkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi ide penubuhan institusi itu semasa bersantap minum petang di Mana-Mana Cafe Kuantan di sini, baru-baru ini. 

Turut berangkat ialah Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan turut hadir ialah Naib Canselor Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin. 

"Baginda juga secara bersahaja merancang untuk mencemar duli memasak di situ dan hasil air tangan baginda akan dijual kepada rakyat jelata khususnya di Pahang, yang sudah pasti tidak sabar untuk merasai air tangan baginda," menurut kenyataan itu. 

Pada majlis itu, Tunku Azizah juga berkenan mewakili KYP untuk menerima sijil pengiktirafan World Association of Chef Societies sebagai kolej yang diiktiraf penuh di peringkat dunia yang dipersembahkan Wakil Chef Asia, Chef Yau Kok Keong.

Selain itu, Ahmad turut menyembah maklum taklimat pelancaran Tabung Pendidikan Tuanku Canselor yang akan diadakan di Seri Kembangan, Selangor pada 6 Okt ini, yang merupakan cetusan ilham Tunku Azizah. 

Tunku Azizah pada 25 Mac lalu, menitahkan supaya tabung diwujudkan bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan menyeru supaya agensi kerajaan, pihak swasta dan individu berkemampuan untuk sama-sama menyumbang terhadap tabung itu. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel