Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hidangan ubi rebus imbau kenangan ketika penjajahan Jepun


Tarikh kemaskini: 24/08/2019





MELAKA, 24 Ogos -- Juadah ubi rebus dan sambal ikan bilis adalah hidangan rutin yang akan disediakan Aminah Abu Bakar, 68, pemilik Rumah Merdeka di Kampung Morten di sini untuk keluarganya ketika sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun. 

Aminah berkata makanan itu disediakan bagi mengimbau kembali kenangan masyarakat terdahulu yang menjadikan ubi rebus sebagai pengganti nasi berikutan kesukaran untuk mendapatkan makanan lain terutamanya ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. 

"Setiap kali 31 Ogos, saya mesti sediakan ubi rebus untuk keluarga kerana masyarakat sebelum merdeka menjalani kehidupan serba kekurangan dan ubi rebus adalah makanan ruji mereka yang disediakan bersama air panas untuk sarapan pagi atau minum petang bagi menambah tenaga dan meneruskan kehidupan mereka. 

"Generasi kini khususnya orang muda mungkin sudah tidak mengenali makanan tradisi ini, jadi dengan menghidangkan ubi rebus dan sambal ikan bilis kepada anak-anak dan cucu dapatlah saya memperkenalkan kepada mereka makanan utama orang dulu-dulu," katanya kepada Bernama di sini. 

Aminah  berkata hampir 48 tahun beliau setia menghidangkan makanan itu kepada keluarganya ketika sambutan Hari Kebangsaan sambil menceritakan kepayahan hidup orang terdahulu yang terpaksa merebus ubi menggunakan dapur kayu api dalam masa yang lama bagi memastikan ia direbus dengan empuk berbanding dapur gas sekarang.

Aminah yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki berkata selain menghidangkan ubi rebus dan sambal ikan bilis, beliau akan menghias kediamannya yang diberi nama 'Rumah Merdeka' dengan kira-kira 100 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan membasuh bahagian bumbung rumah yang dicat menjadi Jalur Gemilang.

Menurut beliau Jalur Gemilang berukuran 10 meter panjang dan empat meter lebar di bahagian bumbung rumah yang dicat oleh adiknya Mohd Aboobaker Yaakob, 60, pada 12 tahun lepas itu akan dicuci pada Januari dan Julai setiap tahun bagi memastikan warna bendera yang terdapat di bumbung itu kekal bersinar. 

"Saya dan adik juga mendirikan papan tanda 'Merdeka' di bumbung bahagian tangga pintu masuk bagi menandakan inilah dia 'Rumah Merdeka' dan kebiasaannya selepas membasuh bumbung pada bulan Januari atau Julai, Mohd Aboobaker akan mengecat semula Jalur Gemilang di bumbung tersebut dengan lapisan baharu dengan kos kira-kira RM500.

"Adik mendapat idea mengecat bumbung dengan Jalur Gemilang selepas melihat seorang warga Jerman mengecat bendera negaranya pada bahagian rumah sempena Piala Dunia 2006. Pada 2007, dia (Mohd Aboobaker) menghasilkan bendera itu dengan kos kira-kira RM1,200 membeli cat dan peralatannya," kata Aminah yang dilahirkan di rumah yang dibina pada 1945 itu.

Tambahnya, lima cucu perempuannya yang berusia dua hingga enam tahun akan digayakan dengan pakaian Jalur Gemilang setiap tahun sebelum membawa mereka bersama anak dan menantunya melihat perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir pada 31 Ogos. 

“Semangat patriotik perlu dipupuk sejak kecil kerana apabila kanak-kanak cinta kepada negara, mereka akan membesar dengan menghargai wa­­risan, sejarah serta pengorbanan orang terdahulu dan ibu bapalah memainkan peranan menerapkan semangat cintakan negara dari rumah,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     

FAMA sumbang RM49,084 kepada keluarga lapan wira negara terkorban semasa Op Daulat

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel