Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sultan Kedah saran jadikan Langkawi pulau rendah karbon


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





ALOR SETAR, 25 Ogos (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini bertitah menyarankan supaya Langkawi dijadikan pulau rendah karbon bagi mengekalkan statusnya sebagai antara 10 pulau peranginan terbaik di dunia.

Baginda bertitah aspek pemuliharaan alam semula jadi tidak boleh diabaikan kerana ia penting untuk menjamin kualiti persekitaran yang baik demi kesejahteraan rakyat di negeri ini dalam usaha mengejar kemajuan.

“Bagi Langkawi yang sudah terkenal di seluruh dunia, beta mengharapkan keindahan alam semula jadinya dilestarikan, justeru beta berharap pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengelak berlakunya insiden pencemaran,” titah Sultan Sallehuddin.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah Dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran bersempena ulang tahun ke-77 hari keputeraan Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di sini, hari ini. Turut berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sultan Kedah juga bertitah, kebersihan perlu diberikan keutamaan dalam semua aspek kehidupan malah semua agama mengajar pengikutnya supaya mengutamakan kebersihan dan menjadikan ia amalan harian dalam kehidupan.

“Demikianlah pentingnya menjaga kebersihan malah dalam Islam, kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Malangnya, masih terdapat segelintir masyarakat mengambil ringan dalam hal ini,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut mengharapkan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan seimbang di seluruh negeri supaya daerah seperti Sik, Baling, Padang Terap dan Bandar Baharu dapat membangun seiring dengan daerah lain.

“Adalah menjadi harapan beta agar Kedah dapat dibangunkan berdasarkan potensi dan kekuatan yang dimiliki dan beta tertarik dengan tahap pencapaian pelaburan yang tinggi oleh para pelabur asing di Kedah.

"Ini adalah atas usaha Menteri Besar serta para pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan,” titah Sultan Kedah.

Dalam perkembangan lain, baginda turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian ribut yang berlaku di Kedah baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda di samping mengorbankan nyawa.

“Mamanda Menteri Besar bersama pejabat-pejabat daerah dan agensi-agensi negeri serta Persekutuan telah mengambil tindakan segera bagi membantu mangsa-mangsa bencana ini. 

"Terima kasih beta ucapkan kepada semua pihak yang terlibat. Kerjasama seperti inilah yang diharapkan dalam apa-apa jua keadaan,” titah baginda.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel