Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

133 stesen minyak di Pulau Pinang sertai GTSP


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





BUTTERWORTH, 25 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 133 stesen minyak di seluruh Pulau Pinang berkolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadi lokasi orang ramai mendapatkan bantuan awal ketika kecemasan menerusi program Go To Safety Point (GTSP).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T.Narenasagaran berkata program itu bertujuan untuk mengupayakan stesen minyak sebagai pusat sehenti bagi memberi perlindungan kepada mangsa sama ada dalam kes jenayah atau kemalangan sementara pihak stesen minyak menghubungi polis atau ambulans untuk tindakan lanjut.

"Terdapat sebanyak 204 stesen minyak di seluruh Pulau Pinang dan ketika ini 133 daripadanya telah berkolaborasi dengan PDRM menyertai GTSP bagi memastikan keselamatan komuniti.

“Orang ramai yang berdepan kecemasan atau memerlukan bantuan perubatan ketika berada di stesen minyak atau berhampiran kawasan stesen minyak boleh meminta bantuan awal daripada petugas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan GTSP peringkat Pulau Pinang di stesen minyak Shell di Mak Mandin di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 133 pengusaha stesen minyak hadir mendengar taklimat dan demonstrasi  berhubung GTSP.

Narenasagaran berkata petugas di stesen minyak yang terlibat telah diberi kursus serta latihan untuk menghadapi kecemasan bagi membantu orang ramai yang memerlukan bantuan daripada mereka.

Katanya mereka akan menenangkan mangsa, menjaga keselesaannya, menghubungi pihak polis dan hospital serta menemani mangsa sehingga bantuan tiba.

"Selain itu, pelekat GTSP serta papan keselamatan antara elemen lain yang diletakkan di stesen minyak menyertai program itu dan orang ramai memerlukan bantuan kecemasan petugas hanya perlu menekan butang panik untuk memaklumkan kepada polis malah sistem kamera litar tertutup juga terus boleh diakses polis," katanya.

Menurutnya polis akan tiba di lokasi stesen minyak yang memerlukan bantuan kecemasan dalam tempoh 10 minit selepas menerima maklumat dan bantuan lain seperti ambulans juga akan dihantar jika mangsa mengalami kecederaan.

Beliau berharap stesen minyak lain yang belum lagi menyertai inisiatif itu dapat berkolaborasi dengan polis pada masa terdekat supaya lebih banyak stesen minyak dapat memberi bantuan awal kepada orang ramai.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel