Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





ALOR SETAR, 25 Ogos (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan masih meneruskan pemberian geran kepada usahawan Bumiputera, namun bantuan itu hanya akan diberikan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata fungsi utama kementerian bukan untuk memberi geran sahaja, malah lebih kepada membantu serta membuka peluang kepada usahawan untuk me­ning­katkan pendapatan.

"Fungsi utama kementerian juga adalah untuk melatih masyarakat yang ingin menjadi usahawan, kalau usahawan itu betul-betul berminat dan ada hala tuju, kita akan bantu dengan memberi geran untuk mengembangkan perusahaan mereka.

“Oleh itu, saya harap rakyat dapat mengubah pemikiran dan tidak lagi mengharapkan bantuan percuma semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Pekan Rabu di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang menyarankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar menutup Kementerian Pembangunan Usahawan susulan keputusannya untuk tidak lagi memberi geran percuma kepada usahawan bumiputera.

Hamidah dilaporkan berkata tiada gunanya lagi kementerian berkenaan diwujudkan jika tidak dapat membantu golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan akan membantu dengan memberikan geran yang melibatkan kaji selidik yang mempunyai peluang untuk dikomersialkan bagi membantu mempercepatkan permulaan perniagaan usahawan.

"Kalau usahawan itu boleh bagi komitmen kepada kerajaan dan diri sendiri, kita akan bantu bagi geran tetapi duit percuma memang tiada. Kalau tengok rekod ada usahawan yang dapat duit tetapi 50 peratus guna untuk perniagaan, 50 peratus lagi buat benda lain.

"Jadi, itu sudah salah guna duit geran, sebab itu kerajaan mahu kurangkan. Kalau kerajaan sebelum ini, usahawan kenal orang sana, sini mereka ada peluang cerah mahu dapat duit percuma tetapi kerajaan dan kementerian sekarang lebih fokus," katanya.

Jumaat lalu, Mohd Redzuan dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Iikan lumba-lumba terdampar diselamatkan pelajar UMT

 
     

JIM tumpas penipuan dalam talian warga China di Ipoh

 
     

Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

 
     

Yuran Kelab Berkuda, Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam hanya RM50

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel