Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak


Tarikh kemaskini: 25/08/2019





KLUANG, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan akan mengkaji penggunaan alat permainan yang mampu mengasah minda kanak-kanak di peringkat awal pendidikan bagi melahirkan generasi yang kreatif dan berinovasi.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata kajian itu adalah susulan idea daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menyatakan kanak-kanak seawal lima tahun perlu didedahkan dengan kemahiran, inovasi serta kreativiti.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya bagaimanapun masih merangka dasar berkaitan dengan pendidikan pra-sekolah, dan sekiranya idea terbabit sesuai untuk diterima maka ia akan dilaksanakan.

“Buat masa ini saya masih belum mahu memberikan komen lanjut berkenaan pelaksanaannya di peringkat pusat (kerajaan puasat) kerana ia masih di peringkat kajian.

“Namun di peringkat (kawasan Parlimen) Simpang Renggam saya akan laksanakannya dalam masa terdekat ini, dengan kerjasama beberapa pihak swasta dan kita akan lihat keberkesanannya di sini (Simpang Renggam),” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam memberitahu  penggunaan alat permainan seumpama ini telah terbukti keberkesanannya kerana beliau sudah melihat sendiri pelaksanaannya di China.

Maszlee ditemui pada perasmian program Sesi Interaksi Ahli Parlimen Simpang Renggam dengan Pihak Industri dan Institusi Pendidikan di Kawasan Simpang Renggam, Kluang, Batu Pahat dan Layang-Layang di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di sini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Wahid Razzaly dan Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang (KLUCCCI), Tan Sri Datuk Tan Seng Leong.

Dalam pada itu, berkaitan dengan interaksi yang dilaksanakan, Maszlee berkata ia lebih kepada menyentuh kerjasama masyarakat, pihak industri dan institusi pendidikan bagi membangun kawasan sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang, Kluang serta Batu Pahat.

Katanya, kerjasama ketiga-tiga pihak ini  diyakini dapat memberi banyak manfaat terutamanya yang berkaitan dengan pendidikan yang berasaskan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Program ini juga akan membabitkan aktiviti khidmat komuniti sosial (CSR) di kalangan industri serta institusi pendidikan yang ada. Program akan bermula esok dan ia akan berterusan dari masa ke semasa, selagi saya diberi kepercayaan di sini (Simpang Renggam),” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel