Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Asdion mula projek pangkalan pembekalan tumpat pada suku keempat


Tarikh kemaskini: 26/08/2019





KOTA BHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Kingdom Infra Holdings Sdn Bhd (KIHSB), syarikat dan rakan usaha sama (JV) syarikat logistik yang tersenarai di Pasaran ACE, Asdion Bhd, bagi membangunkan Projek Pangkalan Pembekalan Tumpat (TSB) di Kelantan, telah memperoleh hak milik tanah sewajarnya daripada kerajaan negeri yang membolehkan fasa pembinaan projek tersebut dimulakan.

Pengarah Eksekutif Asdion Razmi Alias berkata hak milik tanah itu membabitkan kawasan tepi pantai seluas 12.1 hektar di utara Kelantan yang merupakan lokasi strategik dari segi pengendalian Perjanjian Offtake JV lima tahun meliputi eksport bijih mangan kepada pembeli di China - elemen kritikal digunakan dalam penghasilan keluli untuk industri automotif dan serta pengeluaran kenderaan elektrik.

Tanah yang terletak di Tumpat dengan nilai pasaran dianggarkan RM26 juta dan lokasinya hanya 20 kilometer dari Kota Bharu, juga adalah hentian terakhir Laluan Rel Pantai Timur dan menyediakan peluang bagi TSB dalam tahun-tahun akan datang.

“Kami menjangkakan kerja-kerja projek itu dapat dimulakan pada suku keempat (Q4) atau lebih awal lagi susulan Perintah Pembangunan dan Penilaian Impak Trafik (TIA) rutin yang akan dijalankan," kata Razmi dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, TSB akan mendapat manfaat daripada Perjanjian Offtake JV yang dimeterai bagi mengeksport mineral dari Kelantan ke China yang berpotensi menjana hasil sebanyak RM151 juta dalam tempoh lima tahun.

 “Di bawah jaminan keuntungan Kingdom Infra yang dimeterai dengan Asdion, eksport mineral ini akan menjana keuntungan sebanyak RM12 juta pada tahun depan dan menyumbang secara positif kepada pendapatan Asdion bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2020,” katanya.

Razmi berkata, di bawah terma JV tersebut, Asdion akan membina dan menyiapkan kemudahan berkaitan termasuk terminal penyelenggaraan, pembaikan dan operasi untuk kapal, limbungan, gudang, ruang stok, kompleks kastam dan jeti bagi kendalian pukal kering dan laluan akses serta jeti.

"Ini sekali gus dapat memberi sumber pendapatan berkaitan pelabuhan yang pelbagai dan stabil apabila siap kelak," katanya.

Sebahagian besar daripada permintaan terhadap pengeluaran logam dan mineral Malaysia diterima daripada China yang dalam proses melaksanakan usaha meningkatkan industri bandar serta ekonominya dengan secara pesat.

Malaysia adalah antara pengeluar utama bauksit dengan bekalan utamanya ke China, iaitu separuh daripadanya dengan penghantaran pernah mencecah hampir 3.5 juta tan sebulan pada akhir 2015.

Menurut data Kastam China, setakat 2017, bahan-bahan seperti bijih tembaga, mangan, bauksit, krom dan bijih besi adalah lima logam/mineral yang mendapat permintaan tinggi China dengan setiap satunya meraih nilai import lebih US$2 bilion (US$1 = RM4.20) setahun.

Lokasi strategik TSB di kawasan paling utara Kelantan juga menjadikannya berhampiran dengan pintu masuk Indochina dan tanah besar China selain menawarkan peluang besar bagi memenuhi keperluan koridor timur Thailand, Kemboja, Vietnam dan Hong Kong yang masih belum menyeluruh serta ke Guangzhou di China bagi eksport logam serta mineral.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel