Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MFPC anjur program pengurusan kewangan kepada belia Kelantan


Tarikh kemaskini: 27/08/2019





KOTA BHARU, 27 Ogos -- Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) buat julung kali menganjurkan program pengurusan kewangan My Money & Me di Kelantan hari ini.

Pegawai Hubungan Luar MFPC, Nazmi Hakim Mahmod berkata program yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Negeri Kelantan itu bertujuan mewujudkan kepentingan pengurusan kewangan yang berhemah kepada orang ramai khususnya dalam kalangan belia.

"Usaha ini kita lakukan bagi memberi pendedahan awal kepada belia agar mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam merancang pengurusan kewangan yang baik. Penting bagi golongan belia mendapatkan ilmu berkaitan pengurusan kewangan demi masa hadapan mereka yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada program berkenaan yang diadakan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, yang turut dihadiri lebih 200 peserta.

Program itu melibatkan tujuh sesi pembentangan daripada pelbagai agensi kewangan termasuk Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Persatuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kita harap program ini akan memberikan ilmu dan manfaat mengenai pengurusan harta pusaka, insurans, skim persaraan, pelaburan, pengurusan kewangan dan simpanan syariah kepada warga Kelantan," katanya.

Nazmi Hakim berkata, peserta juga diajar meneliti dan memahami status kewangan masing-masing selain konsep asas dalam perancangan kewangan untuk diri dan keluarga.

Program My Money & Me dimulakan pada 2018 dan telah diadakan di seluruh negara menggunakan pendekatan dengan melibatkan kerjasama daripada pihak yang berkepentingan sebagai satu cara untuk membawa pengetahuan asas literasi kewangan kepada rakyat Malaysia.

MFPC adalah satu badan bebas yang ditubuhkan pada 2004 dengan matlamat mempromosikan pembangunan dan peningkatan keupayaan profesion perancangan kewangan di seluruh negara.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Nelayan hilang ditemui lemas di Kuala Dungun pagi ini - bomba

 
     

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel