Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hampir RM450,000 geran diluluskan untuk 45 persatuan penduduk di Melaka


Tarikh kemaskini: 27/08/2019





MELAKA, 27 Ogos -- Hampir RM450,000 telah diluluskan di bawah Geran Komuniti (G-Kom) 2019 melibatkan 45 persatuan penduduk taman, kampung, kuaters dan rumah pangsa di negeri ini sehingga semalam.

Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM1.2 juta yang disediakan Kementerian Kewangan untuk kira-kira 120 persatuan penduduk taman, kampung, kuaters dan rumah pangsa di Melaka tahun ini.

Beliau berkata geran yang diterima bertujuan menggalakkan peranan persatuan penduduk untuk menjalankan aktiviti yang dapat meningkatkan keselamatan di kawasan kediaman selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat.

"Sehingga 26 Ogos lalu, kita menerima 77 permohonan daripada persatuan penduduk taman, kampung, kuaters dan rumah pangsa namun hanya 45 daripadanya diluluskan manakala 32 permohonan lagi berstatus ‘dalam perhatian”, kerana dokumen yang diperlukan tidak lengkap.

"Peruntukan maksimum geran itu ialah RM10,000 bagi setiap persatuan yang membuat permohonan dan mereka yang ingin memohon perlu segera lakukannya sebelum 30 Sept ini, menerusi laman sesawang RoS iaitu www.eroses.gov.my," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Melaka Nurhafidah Ali.

Mengulas lanjut, Kerk berkata peruntukan itu adalah terhad dan Melaka mempunyai 349 persatuan penduduk yang berdaftar di bawah RoS sehingga 20 Ogos lepas.

Beliau berkata G-Kom kini juga boleh dimohon oleh persatuan kebajikan atau keselamatan di Melaka mulai tahun ini.

"Banyak manfaat yang boleh digunakan persatuan penduduk seperti melaksanakan aktiviti atau program pencegahan jenayah, membanteras dadah, gotong-royong, penyelenggaraan dan kejiranan," katanya.

Beliau berkata persatuan penduduk juga boleh membeli peralatan bagi tujuan keselamatan kawasan perumahan seperti kamera litar tertutup, walkie talkie, baton, vest, pam air mudah alih, khemah dan kon.

Sementara itu, Nurhafidah berkata peruntukan di bawah G-Kom 2019 perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana jumlah bagi geran itu pada tahun hadapan mungkin dikurangkan sekiranya peruntukan yang ada tidak dimohon sepenuhnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel