Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Johor akan terus perkasa sektor pertanian - Menteri Besar


Tarikh kemaskini: 27/08/2019





MUAR, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor akan terus memperkasakan sektor pertanian agar ia terus kekal sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negeri khususnya dan negara secara amnya.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata sumbangan dan penghargaan turut diberikan kepada usahawan sektor itu termasuk melalui Program Perintis Keusahawanan Johor (PKJ) bagi membantu mereka meningkatkan hasil pengeluaran pertanian dan produk asas tani.

"Program ini dahulunya dikenali sebagai Program Galakan Usahawan (PGU) sudahpun 25 tahun wujud di negeri Johor dan masih kekal relevan untuk diteruskan bagi membangunkan bidang keusahawanan ini.

"Antara skop bantuan program ini juga meliputi semua pemprosesan makanan dengan pemberian mesin dan kelengkapan bengkel selain turut membangunkan projek di tanah terbiar," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sijil dan bantuan PKJ 2019, di Pagoh, di sini, hari ini.

Katanya usaha itu selari dengan dasar dan hasrat kerajaan negeri untuk melihat pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terus mempertingkatkan tahap perusahaan mereka supaya mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata usahawan tani yang berpeluang menerima khidmat bantuan di bawah kerajaan negeri diingatkan agar bijak memanfaatkan insentif diterima bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka seterusnya memperluaskan bidang perniagaan masing-masing.

"Kerajaan Johor sejak dahulu lagi komited membantu para usahawan dalam meningkatkan kemahiran dan pendapatan mereka melalui khidmat bantuan yang ditawarkan,," katanya.

Pada majlis itu, seramai 236 usahawan menerima sijil dan bantuan mesin serta kelengkapan bengkel dengan peruntukan sebanyak RM1.1 juta.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel