Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SK Tanjung Adang, SMK Tanjung Adang dibuka semula esok


Tarikh kemaskini: 27/08/2019





JOHOR BAHRU, 27 Ogos -- Sekolah Kebangsaan Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Adang yang sebelum ini diarahkan tutup selama dua hari berikutan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang dekat Gelang Patah, akan dibuka semula esok.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor Ab Rahim Lamin berkata berdasarkan pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor petang tadi, keadaan di lokasi kejadian dilihat bertambah baik.

“Berdasarkan pemantauan pihak JAS pada tengah hari tadi, tiada kepulan asap dikesan dibawa ke kawasan sekolah. Angin juga bertiup ke arah  bertentangan dengan sekolah.

“Pembakaran di tepi kawasan sekolah juga telah dapat dikawal oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua buah sekolah itu akan dibuka esok seperti biasa dengan langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata antara langkah berjaga-jaga yang diambil adalah semua warga sekolah diminta memakai topeng muka yang telah dibekalkan, sementara pelajar yg ada komplikasi asma dibenarkan untuk tidak hadir.

Sebagai wakil Jabatan Pendidikan Negeri, Ab Rahim turut mezahirkan ucapan terima kasih kepada JBPM serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan operasi pemadaman hutan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Zon 1 JBPM Johor Mohamad Faizul Selamat berkata sebanyak 70 peratus daripada 16 hektar hutan yang terbakar telah berjaya dipadamkan setakat hari ini.

Operasi yang masuk hari ketujuh itu, melibatkan seramai 140 anggota dan pegawai JBPM selain bantuan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Jabatan Alam Sekitar Johor dan lain-lain agensi berkaitan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     

Sultan Selangor berkenan hadir ke Jamuan Teh Diraja

 
     

LTTE: Permohonan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didengar Isnin

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel