Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kembalikan kegemilangan pendaratan penyu, tarik pelancong - Exco


Tarikh kemaskini: 27/08/2019





KEMAMAN, 27 Ogos -- Kerajaan Terengganu berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan negeri itu yang satu ketika dahulu cukup dikenali sebagai destinasi pilihan pelancong untuk melihat penyu terutamanya di Pantai Rantau Abang di Dungun. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata Pantai Rantau Abang sebelum ini amat terkenal dengan pendaratan penyu belimbing, namun ia semakin suram, malah kali terakhir spesies itu ditemui mendarat ialah pada 2010.

"Bagi memastikan penyu terus mendarat di pantai kita, kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha-usaha konservasi penyu dan tuntung di 46 kawasan yang mana 14 daripadanya telah diwartakan sebagai pusat pemuliharaan dan santuari penyu.

"Malah setiap tahun kita turut memberi peruntukan lebih RM200,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk membantu daripada segi perbelanjaan operasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Lama Kampung Tuan di sini sempena lawatan kerja di daerah Kemaman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata projek pembangunan fasa kedua Zoo Kemaman yang dimulakan pada bulan Mei tahun lalu telah pun berada di peringkat akhir dan dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau berkata projek bernilai RM3 juta itu merangkumi enam pakej utama termasuk 'Australia Bushwalk', ''Africa Savana' dan 'Wild Asia'.

"Zoo Kemaman masih beroperasi sehingga hari ini dan pada masa ini kita fokus  pada kerja-kerja pembangunan fasa kedua. Kita rancang untuk bangunkan pula fasa ketiga selepas ini yang melibatkan tapak perkhemahan dan rekreasi memandangkan kawasan zoo ini luas iaitu sekitar 120 hektar," katanya.

Menurut Ariffin lagi jumlah pengunjung zoo juga mencatatkan peningkatan iaitu seramai 30,924 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 20,501 tempoh sama tahun lalu.

Zoo Kemaman yang terletak di Kampung Ibok dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 12 April 2009, dan pembangunan fasa pertama meliputi kawasan seluas 14 hektar dengan kos RM3 juta. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel