JKKP N.Sembilan keluar 155 notis terhadap 41 tapak pembinaan
Tarikh kemaskini: 28/08/2019

SEREMBAN, 28 Ogos -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan 155 notis pembaikan dan notis larangan kepada kontraktor di 41 tapak pembinaan di seluruh negeri ini dalam 'Ops Keselamatan dan Kesihatan (KPP) di Tapak Bina' pada Mac lepas dan bulan ini.
Pengarah JKKP Negeri Sembilan Izani Mohd Zain berkata operasi itu bertujuan memastikan tahap pematuhan majikan dan kontraktor terhadap undang-undang yang tertakluk dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Peraturan Kilang dan Jentera (Kendalian Bangunan dan Kerja-kerja Binaan Kejuruteraan (Keselamatan) 1986.
Beliau berkata menerusi operasi itu, pihaknya turut menyita 126 kawasan kerja kerana pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh majikan dan kontraktor.
"Antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah tepian terbuka yang melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi, tiada pelan kerja bagi aktiviti mengangkat, tiada pengendali perancah kompeten dan ketiadaan laluan keluar masuk yang selamat ke perancah dan lubagn korekan.
"Kegagalan mematuhi perundangan, majikan dan kontraktor boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut di tapak pembinaan Safira Apartment, Seremban 2 di sini, hari ini.
Safira Apartment yang setinggi 15 tingkat dan mengandungi 242 unit kediaman itu dimiliki oleh IJM Land, manakala kontraktor pelaksana ialah Pembinaan Duta Idaman Sdn Bhd.
Izani berkata operasi tahun ini menunjukkan penurunan kes pendakwaan kepada satu kes dan peningkatan kepada 77 kes pertuduhan kesalahan kompaun dengan kutipan kompaun setakat hari ini berjumlah RM67,500.
"Berdasarkan statistik kemalangan sektor pembinaan 2019, setakat ini mencatatkan satu kes maut, sama seperti tahun lepas, manakala kes hilang upaya kekal dan tidak hilang upaya kekal masih belum ada pada tahun ini, berbanding seorang hilang upaya kekal dan enam orang tidak hilang upaya kekal pada tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
|