Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TMJ mahu Stadium Sultan Ibrahim Larkin terbaik di Asia Tenggara


Tarikh kemaskini: 28/08/2019





JOHOR BAHRU, 28 Ogos -- Padang berkualiti tinggi dan fasiliti kelas dunia merupakan dua elemen utama dititikberatkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha menjadikan Stadium Sultan Ibrahim Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.

Stadium dijangka siap selewat-lewatnya Januari tahun depan itu akan menjadi gelanggang baharu juara Liga Super 2019, JDT yang melakar sejarah tersendiri dengan rekod kejuaraan enam kali berturut-turut sejak 2014.

Tunku Ismail menjelaskan dua elemen itu kunci utama kepada peningkatan mutu bola sepak sesebuah pasukan dan sebagai pemilik, beliau ingin memastikan JDT sentiasa berada di landasan tepat dengan memiliki infrastruktur setaraf pasukan terbaik dunia.

“Saya nak stadium ini jadi terhebat di Asia Tenggara...nombor satu terbaik, selain diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA,” katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pada masa sama, Tunku Ismail menyeru semua pasukan dan kelab memberi penekanan dalam aspek penyediaan padang berkualiti tinggi serta pusat latihan yang lengkap.

Tunku Ismail menjadikan Selangor dan Terengganu FC sebagai contoh terbaik selepas kedua-dua pasukan mengambil langkah positif menaik taraf pusat latihan selain menumpukan fokus terhadap penjagaan kualiti padang dengan bajet berpatutan.

Bagaimanapun, beliau menyedari setiap pasukan mempunyai inisiatif tersendiri, namun berharap pemilik mahupun persatuan negeri meletakkan sukan itu sebagai keutamaan bagi terus memajukan bola sepak di negara ini.

“Saya harap kita sama-sama dapat majukan bola sepak Malaysia macam mana yang dah dibuat Selangor (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan TFC, saya ucapkan syabas kepada mereka.

“Saya berharap banyak lagi pasukan akan ikut benda sama dengan bajet antara RM1 dan 2 juta. Tidak perlu terlampau mahal tetapi pastikan ia digunakan bagi mendapatkan kualiti padang dan juga pusat latihan yang bagus,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel