Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanpa yang lama, tiada yang baharu - warga emas


Tarikh kemaskini: 28/08/2019




MELAKA, 28 Ogos -- Sesekali Abdul Hamid Osman, 65, membetulkan kedudukan kopiah dan mengosok-gosok anak  rambut yang telah beruban ketika berehat seketika  selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Kampung Tun Razak, Bukit Katil.

Mungkin soalan penulis tentang harapan ‘Orang lama’ (Warga emas) terhadap generasi muda dalam memahami erti kemerdekaan menyebabkan Abdul Hamid yang lebih mesra dengan panggilan cikgu Hamid berfikir panjang sebelum membuka mulut.

“Tanpa yang lama, tiada yang baharu…rakyat Malaysia tidak mungkin dapat merasai nikmat kemajuan hari ini tanpa usaha dan pengorbanan daripada pemimpin dan pejuang kemerdekaan yang bersungguh-sungguh membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah barat dan penganas komunis.

“Walaupun pengisian kemerdekaan hari ini mungkin berbeza daripada sebelum ini, kita masih memperjuangkan perkara yang sama iaitu kebebasan untuk  mengurus tadbir negara mengikut  acuan sendiri  tanpa perlu menurut telunjuk orang luar,” katanya sambil mengeluarkan tasbih dari kocek seluarnya sebelum melengkapkan zikir harian di ruang solat Masjid Kampung Tun Razak di sini hari ini.

Bekas guru mata pelajaran Sejarah itu  berkata tugas ‘anak muda’ adalah untuk terus memelihara kemakmuran yang dinikmati hari ini dan terus berkerja keras memajukan negara dan tidak perlu lagi memikul senjata memburu musuh dalam hutan.

Beliau yang mula bertugas sebagai seorang guru sejak berusia 23 tahun itu berkata mata pelajaran sejarah amat penting di sekolah kerana ia akan memberi lebih kefahaman generasi muda bukan mudah untuk mendapat kemerdekaan.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Jaafar Ahmad, 72 dari Sungai Udang  berharap masyarakat hari ini menghayati dan menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan yang sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi ‘membeli’  kemakmuran hari ini.

“Generasi hari ini perlu menghayati apa yang dilakukan oleh pejuang dahulu kerana keamanan dan kemakmuran hari ini diwarisi daripada usaha, kesusahan dan kepayahan yang ditempuh  oleh mereka yang terdahulu,”katanya pesara kakitangan swasta itu.

Pesara tentera, Ramli Ehsan, 67  dari Bukit Rambai berkata walaupun maksud merdeka hari ini membawa makna yang lebih luas berbanding sebelum ini, ianya tidak bermakna bahawa tugas rakyat dan pemimpin telah selesai.

“Sebaliknya semua pihak perlu terus berkerja keras bagi membentuk negara ini kepada sebuah negara maju agar semua nikmat dapat dikongsi secara  bersama,”katanya .

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel