Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sime Darby Property jual tanah bukan teras di Kedah


Tarikh kemaskini: 29/08/2019




KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd merancang untuk meneruskan inisiatif pengewangan aset pada masa depan, dengan sasaran untuk menjual tanah bukan terasnya di Kedah seluas 526.09 hektar dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Amin Jaffri berkata hasil daripada penjualan itu akan digunakan, antara lain, untuk pembangunan masa depan dan mengekalkan nisbah tahap kadar hutang bersih kumpulan terkawal.

"Bukan mudah untuk mencari pembeli yang bersedia untuk membeli semua 526.09 hektar tanah sekaligus, dan tanah itu juga terdapat di beberapa tempat, dengan satu bidang tanah besar berukuran 404.69 hektar dan bukan mudah untuk mencari pembeli yang mampu.

"Perlu ada (aktiviti) pengewangan untuk tanah kita yang bukan teras, berikutan ia tidak memberi kita apa-apa keuntungan jika kita terus memegangnya. Kita boleh menjualnya, guna wangnya dan melabur di Lembah Klang," katanya pada taklimat media mengenai pengumuman keputusan kewangan suku kedua kumpulan berakhir 30 Jun, 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata tanah di Kedah di bawah aset yang memberikan hasil rendah untuk kumpulan dan di luar kawasan biasa projek-projek Sime Darby Property.

Antara lain inisiatif pengewangan aset bagi tahun kewangan semasa setakat ini termasuklah penjualan tanah perindustrian di Kedah seluas 121.41 hektar dengan nilai RM88.9 juta, selain penjualan aset hospitalitinya di luar negara, iaitu Darby Park Executive Suites dan unit pangsapuri di The Orion, Singapura, dengan jumlah nilai sebanyak RM290.9 juta.

Sehingga 30 Jun, 2019, jumlah pinjaman kumpulan sebanyak RM3.23 bilion, terdiri daripada 35 peratus atau RM1.12 bilion pinjaman jangka pendek dan RM2.11 bilion pinjaman jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Transformasi Fairuz Radi berkata segmen industri dan logistik pemaju hartanah itu dijangka menyumbang kepada sasaran kumpulan untuk mencapai 10 peratus pendapatan berulang pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023.

“Kami mahu menumpukan kepada membangunkan keupayaan pembangunan industri dan logistik dalam unit perniagaan kami supaya kami dapat mengembangkannya sebagai segmen perniagaan utama pada masa depan.

“Ini membantu kami mewujudkan pendapatan berulang pada masa akan datang dengan membangunkan aset industri ‘build-to-suit’ dan pajakan yang boleh kita pajak kepada penyewa,” katanya.

Fairuz berkata kebanyakan daripada simpanan tanah syarikat terletak berhampiran kawasan kediaman, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada logistik dan pembangunan kemudahan gudang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel