Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Pinang catat jumlah pelaburan tertinggi bagi tempoh enam bulan pertama 2019


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang sekali lagi muncul sebagai negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan paling tinggi dalam kalangan negeri-negeri lain di negara ini bagi tempoh enam bulan pertama 2019, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata menurut laporan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung projek yang diluluskan di negeri-negeri bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Pulau Pinang menduduki tempat pertama dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.214 bilion menerusi 56 projek.

Chow berkata, jumlah itu mengatasi jumlah keseluruhan pelaburan yang diperoleh negeri itu sepanjang tahun lepas iaitu sebanyak RM5.781 bilion dengan 108 projek.

"Kekal di tempat pertama itu bukan penting sangat tapi yang penting adalah kita masih dapat menarik pelaburan ke Pulau Pinang dalam iklim ekonomi yang amat mencabar sekarang. 

“Dengan pencapaian ini, kita berharap Pulau Pinang akan terus memainkan peranan penting dalam sektor pembuatan khususnya sektor pembuatan elektronik yang memang menjadi kelebihan negeri ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada jumlah pelaburan RM9.214 bilion itu, RM506.5 juta diperoleh menerusi pelaburan domestik manakala RM8.707 bilion daripada pelaburan asing.

Menurutnya, jumlah pelaburan asing yang diperoleh pada enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan lebih daripada berganda berbanding jumlah keseluruhan pelaburan sepanjang tahun lepas sebanyak RM3.693 bilion.

"KIta juga berharap dapat menarik pelaburan domestik walaupun berbanding 2018, ia lebih rendah. Kita  mencatatkan prestasi lebih baik dalam pelaburan asing di mana ia berganda daripada pencapaian tahun lepas tetapi pelaburan domestik kurang memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya,” katanya. 

Sementara itu mengulas laporan akhbar semalam mengenai pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berkemungkinan dibina lebih besar daripada rancangan awal dengan dua landasan, Chow berkata kerajaan negeri berpegang pada komitmen kerajaan negeri Kedah bahawa lapangan itu akan mengutamakan pengendalian kargo.

Menurutnya, buat masa ini apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri adalah pelaksanaan segera projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang kini telah melebihi kapasiti.

"Ia semakin kritikal dengan pertumbuhan ketibaan penumpang sekitar 15 peratus hingga 20 peratus.  Menjelang akhir tahun ini kita jangkakan lapan juta penumpang dan lapangan terbang itu dibina hanya bagi  menampung kapasiti 6.5 juta jadi penaikan taraf dan pengembangan LTAPP adalah sangat penting,” katanya.  

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     

Sokongan keluarga, majikan cetus kejayaan penerima Anugerah Canselor

 
     

P. Pinang catat 384 kes rogol dari tahun 2014 hingga 2018

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel