Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Perak lancar logo baharu Pulau Pangkor


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





TAIPING, 29 Ogos -- Kerajaan Perak hari ini melancarkan logo baharu Pulau Pangkor dalam usaha memberikan nafas baharu kepada industri pelancongan di pulau peranginan berkenaan, kata Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tan Kar Hing.

Beliau berkata logo itu akan memberikan imej baharu kepada pengunjung ke Pulau Pangkor dalam usaha kerajaan untuk mempromosikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai pada 1 Jan 2020.

 “Ada beberapa program untuk meningkatkan kemudahan di pulau itu seperti perkhidmatan pengangkutan, latihan kempen kesedaran, program Mesra Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada setiap bulan kepada pengusaha pelancongan dan pengedaran risalah bercetak dan digital bagi mempromosikan Pulau Pangkor.

“Program tersebut akan diadakan sepanjang tahun ini sebagai persiapan untuk pelancaran Pangkor sebagai pulau bebas cukai,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo Pangkor Pulau Bebas Cukai di sini hari ini.

Logo baharu itu menggambarkan identiti Pulau Pangkor sebagai salah satu destinasi percutian dengan memuatkan beberapa ikon Pulau Pangkor seperti ikan bilis mata biru yang merupakan salah satu produk hasil laut yang popular di pulau tersebut serta burung enggang yang banyak kelihatan di sekitar pulau ini.

Manakala ombak laut dan pokok kelapa pula sebagai simbolik kehidupan flora dan fauna di pantai Pulau Pangkor yang indah dan bersih yang sinonim dengan kehidupan harian penduduk tempatan dan pengalaman percutian pelancong di Pulau Pangkor.

Tan berkata pihaknya juga akan memastikan masalah kebersihan dan hospitaliti di pulau berkenaan dapat ditangani berikutan bakal menerima pengunjung dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Zainal Azman Abu Seman berkata kerajaan negeri memperuntukkan bajet awalan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan infrastruktur setelah mendapat peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mencantikan dan memperbaiki infrastruktur di Pulau Pangkor.

Ia termasuklah untuk mencantikkan jeti penumpang dan jeti kargo di Pulau Pangkor dan jeti di Kampung Acheh sebagai jeti kemasukan barangan bebas cukai, katanya.

“Kita juga akan membuat kunjungan kepada Kementerian Kewangan untuk membuat pembentangan kepada kementerian itu dan berharap untuk mendapatkan sedikit lagi bajet bagi melaksanakan beberapa projek lain di Pulau Pangkor.

“Saya juga telah membuat pertemuan dengan pemandu-pemandu teksi di Pulau Pangkor dan kita sedang memikirkan kaedah di mana Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pengangkutan dapat membantu sistem pengangkutan,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     

Harga barangan basah dan sayuran di Terengganu lepas banjir masih terkawal

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel