Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terowong dasar laut Pulau Pinang: Kajian kebolehlaksanaan dijangka siap September


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





GEORGE TOWN, 29 Ogos -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjangkakan kajian kebolehlaksanaan bagi projek pembinaan terowong dasar laut dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir bulan depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kajian kebolehlaksanaan projek itu kini 92 peratus siap dengan draf laporannya masih dirujuk kepada jurutera perunding bebas yang dilantik bagi sebarang pindaan.

"Kita akan menunggu kajian kebolehlaksanaan siap sebelum kita memutuskan sama ada meneruskan atau tidak projek terowong itu. Itulah asasnya untuk membuat keputusan lanjut nanti," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Empat pakej di bawah PTMP ini terdiri daripada projek terowong sebagai Pakej 4 manakala pembinaan tiga lebuh raya utama terbahagi kepada tiga pakej, di mana Pakej 1 melibatkan jalan pesisir pantai utara Tanjung Bungah - Teluk Bahang, Pakej 2 (Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu - Bandar Baru Air Itam, Farlim) dan Pakej 3 (Jalan Pangkor - Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu).

Chow berkata kos keseluruhan bagi pembinaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya utama tidak pernah berubah dan kekal dengan nilai RM6.341 bilion sekali gus menolak dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa kos pembinaan terowong dasar laut bernilai RM20 bilion.

"Jumlah kos keempat-empat pakej ini dari hari pertama hingga 'master agreement' (perjanjian induk) yang baru ditandatangani pada 2 Ogos lepas masih kekal sebanyak RM6.341 bilion. Tak pernah kita sebut kos projek ini lain dari angka ini dan nilai serta saiz tanah masih 44.52 hektar yang disediakan di Tanjung Pinang diberi nilai RM1,300 satu kaki (0.3 meter) persegi.

"Kita tidak pernah ganjak dari angka-angka ini baik dari segi perbincangan, baik dari segi kenyataan akhbar, baik dari segi perjanjian pertama, baik dari segi perjanjian yang terkini. Kita tidak tahu dari mana Wee Ka Siong dapat angka tersebut. Dia ada angka dia sendiri," katanya.

Beliau berkata projek pembinaan lebuh raya Pakej 2 dijangka akan bermula pada Oktober depan selepas perjanjian pembinaan ditandatangani.

"Kita sudah tahu bahawa Zenith Consortium telah memperoleh kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tetapi tempoh dia akan tamat pada bulan November. Oleh itu kita harap selewat-lewatnya 31 Okt perlu mula kerja. Selain dari EIA, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) juga sudah diperoleh.

"Jadi apa yang menghalang kerja dari mula adalah kita perlu menandatangani perjanjian pembinaan bagi pakej berkenaan. Itu dijangka akan ditandatangani dalam bulan September," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     

Empat ADUN pembangkang gesa Perlis terima pegawai SPRM

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel