Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh restoran di Kepong, Selayang diarah tutup kerana abai kebersihan


Tarikh kemaskini: 29/08/2019




SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Selangor menutup tujuh restoran di daerah Gombak kerana beroperasi dalam persekitaran yang kotor serta terdapat infestasi atau kehadiran tikus dan lipas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata arahan penutupan selama dua minggu itu dibuat mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan dikeluarkan ketika Ops Premis Bersih yang dijalankan di kawasan Selayang dan Kepong pada 22 Ogos lepas.

“Dalam operasi itu, sebanyak 127 restoran dan kedai makanan telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, lima premis ditutup kerana terdapat tikus dan lipas dalam premis berkenaan.

“Manakala dua premis lagi ditutup kerana mendapat markah kebersihan kurang daripada 65 peratus. Kesemua premis yang diarah tutup diberi tempoh selama dua minggu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam operasi sama juga, sebanyak 159 notis melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut dikeluarkan kepada 120 pemilik dan pekerja premis yang diperiksa.

Selain itu katanya, pihaknya turut mengenal pasti 108 pengendali makanan bekerja di restoran yang diperiksa tidak memiliki sijil latihan pengendali makanan manakala 129 orang lagi tidak mendapatkan suntikan typhoid.

“Sekiranya pengusaha telah mematuhi kesemua arahan pembersihan dan penambahbaikan selepas lima hari, mereka boleh memohon pemeriksaan sebelum dibenarkan kembali beroperasi," katanya.

Bagaimanapun, tambah Dr Khalid, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima permohonan daripada pemilik restoran untuk membuka semula premis mereka.

Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi di seluruh Selangor bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang supaya makanan yang disediakan selamat dimakan bagi mengelak kejadian keracunan makanan berlaku kepada masyarakat.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan maklumat dan aduan kepada Jabatan Kesihatan Selangor sekiranya mendapati ada premis yang makanan kotor atau terdapat produk makanan rosak yang djual mana-mana lokasi di negeri berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel