qiwIyLfMfA0 Kerajaan sedar naratif politik semasa - Dr Wan Azizah
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan sedar naratif politik semasa - Dr Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





PUTRAJAYA, 29 Ogos -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedar mengenai naratif politik semasa di mana rakyat mengharapkan sesuatu yang luar biasa dilakukan dalam memenuhi harapan masyarakat. 

"Itu memang biasa dalam apa-apa situasi dan bagi kita kemenangan yang dicapai juga merupakan satu kejutan. 

"Apabila sudah mengambil alih kerajaan, barulah kami dapat tahu realiti sebenar bagaimana situasi dana dan hutang yang dimiliki negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Ilmu Sri Satria: Politik Melayu Islam Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah akur kekurangan pengalaman pentadbiran yang dimiliki anggota Kabinet sekarang kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaksa mereka mendepani naratif semasa politik dalam keadaan mencabar.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata kerajaan terus belajar serta mengambil kira semua aspek dan yakin pada akhirnya harapan rakyat boleh ditunaikan.

 "Ini kali pertama kita (Malaysia) mengubah kerajaan, jadi berikan kami peluang dan masa untuk melaksanakan apa yang dihasratkan rakyat," katanya. 

Berkenaan sama ada kerajaan Pakatan Harapan sedia menghadapi PRU-15 jika mengambil kira naratif semasa politik tanah air, Dr Wan Azizah berkata ia masih awal untuk diperkatakan kerana tempoh untuk pilihan raya umum diadakan masih jauh. 

Mengenai piagam UMNO-PAS yang akan dimeterai pada 14 Sept ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama itu hanyalah satu perjanjian politik atas kepentingan parti politik berkenaan semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.

Ia nyata berbeza dengan Pakatan Harapan yang mahu melakukan yang lebih baik melibatkan aspirasi rakyat keseluruhannya, katanya.

Wacana Ilmu Sri Satria hari ini menampilkan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berlangsung di Sri Satria, kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel