Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dipinda tangani pencemaran 


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





JOHOR BAHRU, 29 Ogos  -- Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dipinda bagi menangani kejadian pencemaran di negara ini khususnya seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Ir Dr Zaki Zainudin berkata langkah merombak akta tersebut merupakan usaha mapan pada masa kini.

"Masalahnya sekarang ini, Akta Kualiti Alam Sekeliling itu, dari segi pelepasan daripada industri, daripada kilang, kita hanya mengawal dari segi kepekatan...sedangkan kita tidak mengawal beban pencemaran itu.

"Sebenarnya, kalau kita hendak pastikan setiap sungai itu kekal bersih atau pun tidak tercemar, maka, kita mesti mengawal bebannya sebab beban ini mengambil kira saiz sungai, berapa banyak bahan pencemaran dilepaskan dan bukannya hanya dari segi kepekatan.

“Kalau di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan, itulah pendekatan mereka," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Halatuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Selain Zaki, forum tersebut turut disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Universiti Sains Malaysia Dr Japareng Lalung; Felo Pelawat Kajian Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) Yusof Ishak, Dr Serina Abdul Rahman; dan Naib Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Vincent Chow Kok Yow.

Zaki berkata selain meminda akta, beliau turut menyarankan pihak berwajib supaya menjalankan kajian di kawasan-kawasan industri yang mungkin berisiko mengalami pencemaran seperti Pasir Gudang.

"Kita ada banyak kawasan industri di Malaysia. Walaupun setakat ini kejadian pencemaran paling teruk adalah di Pasir Gudang tetapi tidak bermakna tiada kawasan lain yang tidak berisiko.

Ketika ditanya cara kerajaan negeri menangani pencemaran di Pasir Gudang, Zaki berkata kerajaan negeri sudah melakukan sedaya upaya.

"Kita kena faham, hendak tentukan punca pencemaran di Pasir Gudang memang sangat susah sebenarnya.

"Bagi saya mereka (Kerajaan Johor) pun tidak sangka yang perkara ini akan berlaku. Jadi, untuk masa akan datang, lebih baik kita jalankan kajian untuk kawasan lain dari sekarang supaya tidak kelam kabut," katanya.

Menurut Zaki, bagi menangani kejadian di Pasir Gudang juga, ia memadai dengan menggunakan kepakaran tempatan memandangkan negara mempunyai pelbagai tenaga pakar merangkumi kualiti udara, air, kesihatan dan sebagainya.

Mengenai pandangan sesetengah pihak supaya Sungai Kim Kim ditimbus, Zaki menyifatkan ia sesuatu yang tidak wajar dan menegaskan ia tidak boleh ditimbus kerana laluan semulajadi air.

"Kalau timbus, takut nanti banjir. Bagi saya, langkah paling efektif adalah kawal di punca pencemaran itu. Itu langkah yang paling mampan.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort bertambah kepada 427 orang

 
     

Penetapan wawasan baharu ISOM untuk APEC terima respons positif

 
     

Kilang proses minyak kapal terpakai diarah tutup

 
     

Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kuching

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel