CtyWROlyUgM Penggunaan perkataan 'pariah' tidak ditujukan kepada sesiapa - Dr Mahathir
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penggunaan perkataan 'pariah' tidak ditujukan kepada sesiapa - Dr Mahathir


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





PUTRAJAYA, 29 Ogos -- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan perkataan 'pariah’ yang digunakan oleh beliau semasa mengulas mengenai kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) baru-baru ini, tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Saya tidak tujukan kepada sesiapa. Siapa yang saya tujukan (ketika menyebut perkatan itu)?,”soalnya ketika diminta mengulas tindakan beberapa ahli PKR di Kapar membuat laporan polis terhadapnya kerana menggunakan perkataan tersebut yang didakwa menyinggung perasaan komuniti India di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Pelancongan Dunia 2019 di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata Lynas tidak boleh dilayan seperti 'pariah’ dan diarahkan memberhentikan operasinya di Pusat Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan.

Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian akan hanya mengakibatkan tiada negara negara lain berminat melabur di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenai pelantikan Jalil Rasheed, 37, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkuat kuasa 1 Okt ini.

“PNB duduk bawah Zeti (pengerusinya Tan Sri Dr Zeti Aziz)...Zeti tidak bagi tahu saya apa pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Jalil memahami hal tuju ekonomi Bumiputera dan Melayu memandangkan beliau dilihat masih muda selain pengalamannya luas di luar negara.

Mengenai keperluan mengubah garis kemiskinan sedia ada pada tahap pendapatan bulanan RM980 bagi seisi rumah, Dr Mahathir berkata memang terdapat keperluan tetapi tidak seteruk seperti dijelaskan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asas Manusia, Prof. Philip Alston.

“Tidak seperti dikatakan oleh orang yang datang ke sini untuk satu hari, tinggal di hotel besar dan kemudian membuat kesimpulan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan Alston minggu lalu bahawa kerajaan perlu mengkaji dan menilai semula kadar kemiskinan di negara ini kerana laporan rasmi bahawa ia hanya pada kadar 0.4 peratus adalah tidak tepat.

Alston dilaporkan berkata, kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, iaitu hampir sama dengan negara lain pada kadar kira-kira 15 peratus.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pekan Rantau Panjang kembali pulih

 
     

Pesta Pulau Pinang sasar 500,000 pengunjung

 
     

Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim

 
     

Air terawat di Pulau Pinang antara paling bersih dan selamat di Malaysia

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel