Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kira-kira 87,600 murid berkeperluan khas didaftar bawah 'Zero Reject Policy'


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Kira-kira 87,600 murid berkeperluan khas didaftarkan di sekolah di bawah pelaksanaan ‘Zero Reject Policy’ setakat 30 Jun lepas, kata Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Yasmin Hussain.

Daripada jumlah itu, 38,036 adalah pelajar sekolah menengah manakala 48,185 dari sekolah rendah dan selebihnya murid prasekolah merangkumi Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif.

“Kita dapati sekarang sudah ramai ibu bapa hantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas yang mana kemasukan mereka ini kita terima pada mana-mana bulan (bila-bila masa).

"Mereka hanya perlu buat pemeriksaan doktor dan sebagainya. Kita harap program ini berjaya untuk menambah baik bilangan pelajar kita ke sekolah di samping membantu anak istimewa ini,” katanya selepas sesi forum sempena Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019 yang diadakan selama empat hari bermula semalam.

Zero Reject Policy yang dilaksanakan sejak Januari lepas bertujuan memastikan murid berkeperluan khas menerima pendidikan selari dengan ketidakupayaan mereka sama ada ke sekolah arus perdana melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Inklusif atau Sekolah Pendidikan Khas.

Dalam pada itu, Yasmin berkata kekurangan kemudahan dan guru pendidikan khas adalah cabaran utama dalam melaksanakan dasar itu.

“Nisbah guru pendidikan khas kita ialah seorang guru untuk 6.5 pelajar. Jadi apabila berlaku pertambahan pelajar, kita memang kurang guru. Jadi kita sedang usahakan untuk mendapatkan guru interim supaya dapat penuhi kuota penjawatan ini.

“Begitu juga guru yang bakal keluar daripada Institut Pendidikan Guru, bilangan mereka yang akan menamatkan pengajian khususnya guru pendidikan khas lebih kurang 126 orang. Jadi mereka ini akan masuk bantu anak istimewa kita ini,” katanya dan menambah bahawa kementerian sedang berusaha menyelesaikan cabaran itu secara berperingkat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel