Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KLIA: isu perlu disiasat, henti buat andaian - Loke


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





PUTRAJAYA, 30 Ogos -- Insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

"Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

"Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lepas dilaporkan tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat.

Malaysia Airports juga dilaporkan telah membuat laporan polis susulan insiden gangguan sistem itu pada Selasa lepas.

Loke berkata jawatankuasa itu diberi tempoh sebulan bagi menjalankan siasatan termasuk memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

"Mereka bekerja sepanjang masa, setiap hari ada meeting (mesyuarat), ada siasatan," katanya.

Katanya jawatankuasa itu menjalankan siasatan dari sudut mengenal pasti punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa depan.

Menurut Loke, pihak polis pula menjalankan siasatan berasingan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden itu dan mengambil tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel