Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemandu peribadi berdepan 17 pertuduhan pindah wang tanpa kebenaran


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





SEREMBAN, 30 Ogos -- Seorang pemandu peribadi hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini, atas 17 pertuduhan memindahkan wang milik seorang lelaki warga Nepal ke akaun miliknya tanpa kebenaran, yang keseluruhan berjumlah RM4,580, sejak Mei lepas.

Tertuduh, Mohamad Haikal Rosman Zahri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret V. Vanita.

Mengikut pertuduhan satu hingga lapan, dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan memindahkan wang milik Bhujel Dipchhan ke dalam akaun Maybank miliknya secara fraud  sebanyak lapan transaksi membabitkan keseluruhan jumlah RM2,530.

Manakala di Mahkamah Majistret berasingan, Mohamad Haikal turut mengaku tidak bersalah atas sembilan lagi pertuduhan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.  

Mengikut pertuduhan satu hingga sembilan, dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan memindahkan wang milik lelaki yang sama ke dalam akaun Maybank miliknya secara fraud membabitkan keseluruhan jumlah RM2,050.

Kesemua 17 kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Persiaran Senawang, di sini antara 3 Mei hingga 5 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di kedua-dua mahkamah dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari dan Mas Syafiqah Mahroob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya di kedua-dua mahkamah, tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan isteri tidak bekerja selain perlu menyara seorang anak berusia tiga tahun.

Majistret Vanita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kesemua lapan pertuduhan dan menetapkan 19 Sept bagi sebutan semula kes manakala Majistret Mahyun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,500 bagi sembilan pertuduhan dan menetapkan 13 Sept depan bagi sebutan semula kes.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel