Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Angkat perpaduan, tolak perpecahan – Lim


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





KUALA LUMPUR, 30 Ogos  -- Menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62 esok, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pentingnya bagi rakyat Malaysia untuk mengangkat perpaduan nasional dan menentang sebarang perpecahan.

Katanya cabaran terbesar negara dalam menuju ke hadapan ialah untuk menangani fitnah dan pembohongan daripada mereka yang menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan sentimen perkauman dan ekstremisme agama.

Menurutnya perkara itu telah mewujudkan defisit kepercayaan di mana rakyat menjadi cenderung untuk mempercayai fitnah dan pembohongan berbanding kebenaran dan fakta.

“Bagi membina perpaduan nasional, kita harus membina keyakinan dan mengembalikan kepercayaan ke dalam sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat, yang mahu membina sebuah masa hadapan yang lebih baik demi anak-anak kita.

“Rakyat tidak akan menerima sebarang keuntungan dengan mengikut jejak mereka yang menyebarkan perpecahan nasional melalui sentimen perkauman dan ekstremisme agama,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kemerdekaan di sini, hari ini.

Lim yang juga Menteri Kewangan berkata negara bakal rugi besar sekiranya gagal memberi tumpuan utama kepada isu ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan ekonomi rakyat.

“Sebab inilah sesi konsultasi Belanjawan 2020 yang sedang berlangsung mengutamakan kemakmuran bersama dan ekonomi berkeusahawanan yang akan membantu rakyat Malaysia menetapkan semula kepercayaan bahawa kita hanya mampu menjadi kuat apabila kita bersama.

“Marilah kita menyambut Hari Kemerdekaan kita dengan memperbaharui kepercayaan kita antara satu sama lain, bahawa hanya apabila kita bersatu, kita tidak akan gagal,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel