Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka teroka peluang perdagangan dengan China


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





MELAKA, 30 Ogos -- Kerajaan negeri Melaka sedang giat berusaha untuk meneroka peluang perdagangan dengan China menerusi kerjasama dua hala terutama dalam sektor pelancongan dan perindustrian, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata, China merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka bagi sektor pelancongan dengan merekodkan ketibaan kira-kira empat juta pelancong dari negara itu.

Katanya, sektor pelancongan menyumbang RM20 bilion setahun iaitu 40 peratus diperoleh daripada pengunjung luar negara termasuk dari China yang mencatatkan jumlah ketibaan pelancong asing tertinggi ke Melaka.

"Selain sektor pelancongan, terdapat juga pelabur dari negara berkenaan yang turut menyumbang dalam kegiatan ekonomi di sini melibatkan pelaburan dalam sektor perindustrian dan pembuatan.

"Justeru, kita akan melihat prospek dan segala inisiatif yang boleh diambil bagi meningkatkan kerjasama antara Malaysia-China khususnya Melaka yang memberi manfaat dalam hubungan jangka panjang kepada dua pihak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan OCTF (Melaka) Pameran Komoditi China-Malaysia 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan Shantou di Shenzhen, Zheng Hanming, Presiden Dewan Perdagangan Teochew Malaysia Datuk Goh Wan Sing dan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Teochew Datuk Seri Ooi Soo Hing.

Adly berkata, kerajaan negeri juga melantik pegawai khas bagi  mengenal pasti dan mengkaji perjanjian lama dalam usaha merealisasikan hubungan Melaka dan tanah besar China menerusi laluan udara.

"Saya yakin terdapat potensi besar untuk hubungan yang lebih kuat antara Melaka dan China bagi meneruskan momentum yang telah dibina sejak awal abad ke-15, selain Melaka menjadi pintu masuk untuk pelabur dan destinasi pilihan pelancong China," katanya.

Pameran selama tiga hari berakhir 1 Sept itu menyasarkan kira-kira 15,000 pengunjung dan merupakan sebahagian usaha membina hubungan lebih erat di samping mempromosikan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel