Program bersih sungai bukti UTeM serius bantu jaga kebersihan Sungai Melaka
Tarikh kemaskini: 30/08/2019

MELAKA, 30 Ogos -- Program membersih Sungai Melaka oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini membuktikan komitmen universiti yang serius dalam soal menjaga kebersihan sungai itu.
Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM, Prof Ts Dr Goh Ong Sing dalam satu kenyataan hari ini berkata seramai 30 kakitangan dan mahasiswa UTeM telah menjayakan program itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
Ia bertujuan memupuk semangat cintakan sungai dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti setempat akan pentingnya menjaga sungai.
UTeM mengambil inisiatif untuk terus memberikan perhatian dan komitmen secara serius berhubung kebersihan Sungai Melaka kerana ia adalah sebahagian daripada ikon pelancongan negeri ini.
Program membersih sungai itu melibatkan laluan sungai dari Jeti Taman Rempah hingga ke kawasan pembangunan Sungai Melaka Fasa 2 berdekatan Terminal Melaka Sentral.
Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Dr Wong Fort Pin ialah antara yang menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTeM itu bersama-sama warganya.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu yang berada di negeri Melaka sentiasa menitikberatkan aspek kebaikan komuniti bersama.
Katanya UTeM juga telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Negeri Melaka untuk mengetuai kluster ‘Smart Environment & Smart Energy’ di bawah inisiatif ‘Melaka Smart City’.
-- BERNAMA
|