Gobind menyambut baik inisiatif memperluaskan Gantian Optik ke Melaka
Tarikh kemaskini: 30/08/2019

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyambut baik keputusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memperluaskan liputan ke empat lagi kawasan di Melaka selepas kejayaan pelaksanaan projek rintis Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan (NFCP) di Jasin awal tahun ini.
Berita baik itu, katanya, sudah tentunya akan menyokong inisiatif NFCP kerajaan dan menggalakkan lagi usaha untuk memperluaskan kesalinghubungan ke seluruh negara pada masa hadapan dalam kadar yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah.
TNB dijangka melaksanakan gentian optik di 14,900 buah rumah lagi sebagai tambahan kepada 1,100 buah rumah di Jasin awal tahun ini dan menjadikannya jumlah rumah yang terhubung melalui rangkaian Internet melalui TNB di Melaka kepada 16,000.
“Saya dimaklumkan bahawa inisiatif ini dibiayai secara swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Menteri itu, TNB akan melaksanakan projek itu secara berperingkat meliputi kawasan bandar dan luar bandar seperti Alor Gajah dengan sebanyak 8,200 buah rumah, Jasin (2,700 buah rumah) dan Melaka Tengah (4,000 buah rumah di Ayer Keroh dan Malim Jaya).
Gobind berharap TNB juga boleh memperluaskan inisiatif mereka ke negeri lain memandangkan ketersediaan mereka dalam menggunakan infrastruktur yang sedia ada.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana secara aktif meneruskan dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan projek ini dan berharap negeri lain juga akan berusaha untuk meningkatkan perkembangan rangkaian di negeri masing-masing.
“Saya dimaklumkan bahawa inisiatif seperti ini sedang dibincangkan di Kedah, Perak dan Johor," tambah beliau.
Menurut Gobind, kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memberi sokongan kepada inisiatif seperti ini dan menyambut baik penyertaan daripada pihak yang boleh membantu dan menjayakan inisiatif NFCP.
-- BERNAMA
|