Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Farid Kamil tak sedar macam mana dia sampai ke balai polis


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





PETALING JAYA, 30 Ogos -- Pengarah dan pelakon filem popular,  Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi  empat pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia tidak sedar macam mana dia sampai ke balai polis itu.

Farid Kamil, 38, berkata  sebelum itu dia berasa pening dan tekak kering selepas menghisap sebatang rokok balut dan meminum air teh yang diberikan kenalan baharu dan rakan artisnya ketika berjumpa mereka di sebuah pejabat dalam gudang milik rakan artis itu di Kayu Ara, di sini pada pukul 10.10 malam 9 Jan tahun lepas.

Suami kepada aktres Diana Danielle itu berkata, selepas menghisap rokok yang diberikan salah seorang kenalan baharunya itu (teman kepada rakan artis iaitu anggota kumpulan popular 90-an), dia mengalami pening yang teruk dan tekaknya menjadi kering.

“Saya tak pernah rasa pening macam itu. Lepas itu saya tak sedar, saya tak ingat apa yang berlaku. Beberapa jam selepas itu, saya sedar saya tidak berada di pejabat rakan artis itu.

“Tetapi, saya disedarkan oleh beberapa pegawai polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail,” katanya semasa ditanya peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif ketika membela diri pada har? pertama prosiding di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Amirul Ridzuan: Bagaimana kamu boleh sampai ke Balai Polis Taman Tun Dr  Ismail?

Farid Kamil: Saya tak tahu dan tak sedar bagaimana boleh sampai situ. Tetapi pada  hari tersebut saya dimaklumkan seorang pegawai polis, saya berbaju,  berseluar dan tidak berkasut. Kemudian saya bertanya hari dan waktu. Polis kemudian memberitahu pukul 3 pagi 10 Januari 2018.

Amirul Ridzuan: Apa berlaku seterusnya? 

Farid Kamil: Saya masih pening dan bingung...kemudian polis meminta nombor telefon untuk dihubungi. Polis kemudian menghubungi adik saya, Fadzil dan adik saya tiba 40 minit kemudian bersama rakannya.

Pada 21 Jun lepas, mahkamah itu memerintahkan Farid Kamil membela diri atas empat pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 16 Jan 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36, dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga berdepan dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Muhammad Nizam dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di balai polis berkenaan pada 1.20 pagi, 11 Jan 2018,  mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan mahkamah menetapkan 23 dan 24 Sept untuk menyambung keterangan Farid Kamil.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel