Exco kerajaan Melaka pilih baju imbau perjuangan askar tanah Melayu
Tarikh kemaskini: 31/08/2019

MELAKA, 31 Ogos -- Ketua Menteri, Adly Zahari dan barisan exco kerajaan negeri mengenakan baju warna coklat cair sebagai simbolik mengimbas semula jasa pejuang kemerdekaan negara ketika menyaksikan acara pembarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 peringkat negeri Melaka hari ini.
Adly berkata pemilihan baju kemeja lengan panjang itu dibuat bagi melahirkan imej patriotik memandangkan warna tersebut pernah dipakai pejuang kemerdekaan tanah air, satu ketika dahulu.
"Jika kita lihat signifikannya, askar Melayu terdahulu sudah mengenakan warna (pakaian seragam) ini. Jadi, sebagai tanda mengenang perjuangan mereka, ini salah satu warna dipilih," katanya kepapada pemberita selepas perarakan itu.
Terdahulu, Yang Dipertua Tun Dr Mohd Khalil Yaakob bersama barisan exco kerajaan negeri turut hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan peringkat negeri itu.
Mengulas lanjut, walaupun hanya membabitkan barisan pemimpin kerajaan negeri, bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan agensi kerajaan turut mengenakan pakaian patriotik masing-masing.
"Kita pihak penganjur (Kerajaan negeri) menjemput sesiapa pihak meraikan kebangsaan, jadi ia tidak jadi sebarang isu, hanya exco sahaja yang dibekalkan pakaian ini," katanya mengulas dakwaan apabila timbul isu terdapat pihak enggan memakai pakaian seragam tentera itu kerana mirip pakaian penganas komunis.
Kira-kira 30,000 pengunjung pelbagai bangsa membanjiri memorial menyaksikan perarakan dan perbarisan dianggotai seramai 9,054 orang yang mengambil bahagian.
-- BERNAMA
|